kawan, apa itu kawan?

Posted: October 13, 2011 in Uncategorized

Aku mungkin bukan rakan yg baik kerana tak pandai menyatakannya kat depan korang setiap masa
(tak macam sesetengah orang update sayang org itu org ini kat facebook haha)

Tp aku syg kawan2 aku dan persahabatan itu dgn mengutamakan satu perkara iaitu HORMAT
Aku hormat kawan2 yg aku syg. Caranya : aku terima dia seadanya dia seperti mana dia menerima aku seadanya aku. aku tidak akan sekali2 melanggar border personal life nya kalau dia tidak mahu melibatkan aku. Lainlah kalau dia mmg nk share dgn aku, baru aku terima. kalau dia taknak share, aku tk kisah sbb itu hak dia.

Itulah maksud HORMAT pada aku.

Bagi orang yang tidak boleh menerima cara ini, maaf aku tidak mampu untuk berpura-pura.
Yo go your way, i’ll go mine

Hidup ni ringkas, buat apa kita nak memberat-beratkannya..

Ramadhan Lalu..

Posted: August 11, 2010 in Uncategorized

Sedar tak sedar, Ramadhan kini tiba lagi. Alhamdulilah, rasa syukur kupanjatkan ke sisi Ilahi kerana tahun ini aku masih diberikan peluang untuk merasai kemanisan bulan yang sangat mulia dan penuh berkat ini. Kesihatan, rezeki dan kasih sayang yang Dia turunkan padaku begitu banyak sehingga jujur ku akui, aku x mampu membalas kesemuanya sekali. Suami dan anak-anak berserta seluruh kaum keluargaku juga ada bersama-samaku kali ini. Cuma seorang yang tiada. Seorang yang begitu berkesan di hati ini. Inilah Ramadhan pertamaku tanpa dirinya..

Ramadhan lalu, air mataku banyak tertumpah menangisinya. Bahkan solatku, doaku dan tarawihku sering bersulam air mata hanya kerananya. Reza perlu menenangkanku setiap kali kami selesai bersolat jemaah.  Solat hajat ku persembahkan padaNya demi memohon kesejahteraan insan itu. Surah Yassin dan AsmaulHusna juga aku dan Reza lagukan demi memohon keampunan dan petunjukNya.

Ramadhan yang lalu, telefon ibarat nyawa keduaku. Nada deringnya ku kuatkan pada volume tertinggi, bimbang jika aku terlepas peluang menjawab panggilan insan itu. Setiap detik penuh debaran. Menu berbuka puasa juga tidak seadanya. Reza juga faham. Tidak meminta hidangan yang berlebih-lebihan kerana sedar emosiku tidak keruan.

Ramadhan yang lalu, bibirku ku mengukir senyum tetapi hati berdarah luka. Tidur malamku tak pernahnya lena kerana bimbang memikirkannya. Pekerjaanku juga kurang sempurna kerana hati terus-terusan mengingatinya. Pertama kali bertemunya di Ramadhan lalu, tubuhku lemah tak bermaya. Dia begitu bersemangat bercerita seperti selalu. Tetapi tidak aku. Sebelum pulang meninggalkannya seorang diri di situ, aku tak dapat menahan tangis. Aku peluknya seerat mungkin. Dia juga menangis kerana hatinya goyah melihat aku yang tiba-tiba lemah. Buat apa menangis, katanya. Umurnya panjang lagi, dia menambah. Sepanjang Ramadhan lalu, aku dan adik beradik yang lain bersilih ganti menemuinya. Tidak cukup dengan hanya pertemuan, doa dikirim dari jauh agar dia tidak pernah kering dengan kasih sayang kami semua.

Ramadhan lalu juga sudah menjadi penamat untukku merasai keenakan masakannya. Walaupun dia masih ada tika itu, tidak mungkin dia mampu menyediakan hidangan untukku. Selama 32 tahun aku menikmati kehebatan air tangannya, tetapi Ramadhan lalu ternyata telah menjadi noktah akhir bagi segala-galanya.

Duka sekali Ramadhan lalu kan? Tetapi jawapan sebenarku, kini tidak lagi. Sedih dan rinduku terubat kerana aku tahu, dia pergi kepada yang berhak ke atasnya. Sayu dan piluku terjawab kerana dia pergi dalam redha Penciptanya. Tangis dan senduku terbalas kerana aku tahu Allah menyayanginya sehingga dia dipanggil terlebih dahulu berbanding aku dan kita semua. Dukaku hanya sementara.. redhaku yang berpanjangan sentiasa.

Memang aku tak sempat membisikkan kata-kata sayang padanya di saat-saat akhirnya. Memang aku tak sempat memohon ampun di telinganya di saat-saat nadinya masih bersisa. Tapi tak mengapa. Sudah aku sampaikan kesemuanya menerusi izin Yang Maha Esa. Sudah aku sampaikan salam rinduku padanya, sudah aku sampaikan rasa cintaku padanya, sudah aku panjangkan kemaafanku kepadanya. Semuanya menerusi Tuhanku sendiri. Allah SWT yang sangat aku cintai melebihi cinta kepada diriku sendiri.

Ya Allah Ya Tuhanku, di manapun dia, bagaimanapun dia.. semuanya adalah di atas urusan dan kehendakMu. Namun, sebagai anak yang pernah keluar dari rahimnya, aku kini bermohon padaMu. Sampaikanlah Ya Allah andai benar tindakan dan permintaanku. Ampunilah dia, lindungilah dia dan cucurilah rahmat ke atas rohnya. Takkan jemu aku mengingatinya sepertimana dia mengingatiku sewaktu hayatnya. Takkan jemu aku berdoa untuknya sepertimana dia berdoa untukku kala dia ada. Kasih dibalas sayang, sayang dibalas cinta..

Salam Ramadhan untuk semua..

Salam 165

Salam dan selamat sejahtera

Setelah sekian lama tak update blog, tiba-tiba terfikir pulak nak cakap tentang ragam pemandu-pemandu di jalanraya. Mungkin kita antara yang gemar melakukan perkara ini. Jadi marilah kita sama-sama memuhasabah diri agar kita sama-sama menjadi pemandu berhemah. Tujuh tahun dulu, waktu aku menemani seorang kakak di office untuk ke lokasi assignment, dia pernah berpesan padaku. Katanya;

“Ita, kalau you drive keta nanti, you kene anggap semua pemandu jalan raya ni bodoh. So you akan lebih berhati-hati dengan setiap tindakan yang diorang buat!” (Rindu pulak aku kat kakak tu. Dahlah cantik, baik pulak tu)

Secara rasminya, aku juga menganggap kebanyakan pemandu kereta adalah bodoh. Dan kalau pemandu lain pun beranggapan macam aku, maka confirm aku pun termasuk dalam senarai itu. Hehehe.. biarlah..aku xde hal punyer. What you give, you get back tak gitu.. hahaha..

Antara perbuatan pemandu-pemandu yang kerap buat kita rasa geram ialah :

1. Di hiway : Kita duduk di lane paling kanan. Kita bawak laju la.. (meter kelajuan tak boleh tulis sini..huhu). Pastu ada ragam segelintir pemandu yang suka ‘cucuk’ belakang keta kita walhal kita dh bawak laju dan depan kita tu ada kete-kete lain yang kelajuannya macam kita. Lepas tu disebabkan geram, kita pun beralih ke kiri dan beri laluan padanya. Bila dia memotong, dia hanya duduk di depan kita je. Motif? Lainlah kalau ko potong aku dan pastu kete ko mendesup hilang dari pandangan.. itu kira puas hati lah ye tak.. Ni takat dok depan aku, apa cerr..

2. Bawak terlalu slow. 40km/jam. Adoyai.. Letihhhhh!! menyusahkan orang lain betullah. Kalau ko takut, ko jangan bawak keta la. Naiklah basikal, beca atau kuda ke. Pastu ada hati nak duduk lane tengah atau lane kanan. Takleh buat kawan tul orang camni. Nak kata P, takde pelekat pun?

3. Kejap-kejap break, kejap-kejap break. Spesies macamni, kita takleh ikut rapat sangat. Kejap lagi break pad kita pun haus dibuatnya. Takat cicak nak melintas pun nak break. Walhal bukan ada apa-apa halangan di depan tu pun. Kalut btol.

4. Pompuan bawak keta muka sombong dan pakai spek hitam. Haiyoo.. punyelah kekwat kalau dah dapat spek besar dia tu dgn stereng. Terus jadi puan seri lagaknya. Bawak kete kenmain laju x pandang kiri kanan. Kita salah sket, honnya sebatu dah dengar. Poodah! Meluat.

5. Bawak keta, bukak tingkap dan tangan dijulur keluar. Biasanya pakcik2 kertu memang suka buat camni. Pulak tu kat tangan tersepit sebatang rokok. Punyelah damai pemanduannya seolah-olah sedang bersiar di tepi pantai. Orang beria-ia nak laju kat belakang tapi dia punye style , ‘lantak koranglah nak laju-laju, aku menten camni je..’. Mentenlah sangat pakcik oii!

6. Bunyi menderum-derum sbb pakai ekzos besar tapi x kemana pun perginya. Ni lagi satu spesies yang dah sah-sah suka sangat menyuruh orang mengumpat dia. Dari jauh dah dengar bunyinya tapi tunggu-tunggu tak timbul pun. Pastu bila nak lalu kat bumper, kalau kita di belakang dia, kita kene berhenti hokeyyy.. Sebabnya pemandu begini suka memberhentikan keretanya dan memusingkan keretaya penuh hemah macam gampunk. Itulah sapa suruh pasang ekzos besar dan lowered kan keta tu.. sayang ekzos lah katakan..

7. Terlalu sayangkan signal keretanya sehingga tak mahu guna. Ini lagi satu haku angin sehinggakan aku pun buat gak kengkadang sbb dh ngeram sgt. (Hampeh 2×5). Nak potong ke, nak ke kanan ke kiri ke.. orang camni mmg x suke bg signal. Paling rasa nak mencarut, kalau kita tengah gigih mengimbangi kereta di persimpangan bukit. Pastu kita nak ke kanan. Disebabkan ada kereta, kita pun berhentilah. Pastu spesies ni dah nampak kita terhegeh-hegeh kat situ, at least pasanglah signal untuk bgtahu ko nak masuk ke kiri. (Kalau nak terus tu lainlah cerita). Ni tidak.. buat selamba je kat kita. Dia pun belok kiri dengan angkuhnya. Jam tu aku rasa kalau ada mercun cina, memang aku baling kat keta dia.

8. Isi minyak tapi masuk ke dalam kedai Mesra nak beli barang. Hantu betul. Aku dan Reza penah kene waktu kami di stesyen minyak berhampiran rumah kami. Keta dahlah banyak. Kami pun tunggulah giliran belakang keta dia. Tunggu-tunggu, dia tak muncul-muncul. Sama ada dia dah isi minyak ke belum, wa pun x tahu. Dekat nak 10 minit tunggu, nampak satu akak ni dgn tudung Ariani dia tu melenggang keluar dari kedai Mesra sambil jinjing plastik beli air kotak, air tin dsb. Ingatkan dia nak isi minyak selepas tu. Tapi tidak. Dia selamba masuk keta dan berlalu pergi. Woi mangkuk, apekah kau x sekolah? Dah habis isi minyak tu tadi, alihkanlah keta ko dari tempat tu dan parkinglah kat tempat disediakan kalau ko nak beli belah. Ape kejadahnya semua ini? Pulak tu, punyelah eksyen.. Ni memang jenis perempuan habiskan duit laki je ni. Sebab tu xde kesedaran sivik.

9. Bawak keta ke tengah ke tepi takde tujuan. Sama ada dia tgh berSMS atau bercakap tepon, itu x tahulah. Kadang-kadang tu sampai makan jalan orang. Kalau kita nak memotong dia pun, kita rasa ragu-ragu. Orang camni sesuai bawak keta kat jalan kampung yang selorong tu jer. Sbb dia jenis yang tak nampak garisan jalan waktu memandu.  Rabun agaknya.

10. Penunggang motosikal. Ish, ni satu lagi isu yang cukup buat aku geram. Walaupun bukan semua tapi ragam segelintir penunggang ni bisa bikin pemandu kereta meletop. Kalau sudah disediakan jalan untuk motosikal, kenapekah engkau sesuka hati mau masuk lorong kereta. Dahtu bawak tengah jalan plak tu. Kengkadang tetiba je keluar simpang x diduga. Dahlah korang selalu parking kat petak parking kereta, jalan kereta pon korang nak amek?

11. Tak tentu arah kat roundabout. Shah Alam memang kaya dgn roundabout. So peel orang pun macam-macam. Kes duduk tengah tapi nak pegi tepi tu biase dah. Kalau dah tahu ko nak ke kiri, ape ke bangangnya ko dok paling hujung. Takke dah menyusahkan orang lain? Pastu tak sabar-sabar nak ke kiri dan signal pun x bagi. Bukan nak cakap le.. orang keta2 besar sukelah buat camni. Ingat orang heran sgt keta dia tu agaknya.. Poodah.

Okeylah.. banyak dah meraban ni. Rasanya mungkin kita pernah membuat antara no 1 sampai 11 tu kan.. Ngaku jelah. Apapun nak bgtahu, hidup ini bukan tentang diri kita sahaja tetapi tentang orang lain juga. Kalau nak buat apa-apa, jgn fikirkan komplikasinya pada kita saja tetapi pd orang lain jugak. Kita hidup bermasyarakat. Kera kat hutan tu pun memerlukan komuniti kera untuk meneruskan kelangsungan hidupnya. Apatah lagi kita ni sebagai manusia. Kalau nak hidup sorang-sorang jugak maka jadilah kera sumbang. Tak kuasa. Sebelum nak buat apa2, sering soalkan pada diri, “apakah tindakan aku  ini betul dan tidak melebihi batas?”. InsyaAllah, betul cara kita, betul fikiran kita, maka betullah kita. Tetapi bagaimana hendak mendapatkan yang betul itu? Tiada cara lain, kecuali kembali pada ALLAH.

Selamat memandu. Pandu Cermat Jiwa Selamat. Senyum Senang Jiwa Lapang. Salam 1Malaysia. (kerajaan sangat uolss!)

9 April

Posted: April 9, 2010 in Uncategorized

9 April..

Tarikh ini takkan aku lupakan sampai bila-bila. Hari ini adalah hari ulangtahun seseorang yang sangat istimewa di hatiku. Walaupun orang itu sudah tak ku temui lagi di dunia ini, bahang kasih dan sayangnya padaku tetap membara.

Andai tika ini emak masih hidup, genaplah usianya 56 tahun hari ini. Pagi-pagi lagi, aku menerima sms dari Along mengingatkan tentang tarikh ini. Dia meminta kami adik-adiknya agar tak putus-putus mendoakan emak dan menghadiahkan pahala Al-Fatihah untuk rohnya. Along, mana mungkin Ita terlupakan tarikh ini…

Masih aku ingat kali pertama aku dan adik berpakat hendak memberi kad hari jadi untuk emak. Waktu itu aku berusia 15 tahun manakala adik aku pula baru berusia 7 tahun.  8 April, balik sahaja dari sekolah, aku singgah sebentar di kedai Cina berhampiran untuk membelikan kad untuk emak. Puas aku memilih kerana kebanyakan kad adalah untuk kekasih sahaja. Belek punya belek, akhirnya aku terjumpa satu kad yang ditulis Istimewa Untuk Bonda. Belasah ajelah asalkan sesuai. Sampai saja di rumah, aku tuliskan kata-kata paling puitis untuk emak. Kemudian aku paksa adikku menulis. Alhamdulilah, dia yang sudah boleh membaca sejak berusia 4 tahun lagi mampu melakarkan kata-kata indah untuk emak. Nak tergelak pun ada bila aku tengok tulisannya. Walaupun ucapannya simple, tapi tulisannya buruk sangat-sangat!  Biarlah asalkan emak tahu ini ikhlas dari anak-anaknya. Along dan angah tak turut serta kerana kedua-dua mereka bersekolah di asrama penuh dan tidak tinggal bersama kami.

Keesokannya harinya, kami berdua dah gelabah. Macammana nak bagi kad ni kat emak? Takkan nak bagi terus je? Rosaklah program. Ingat nak letak atas katil, tapi macam x seronok pulak. Bincang punya bincang, akhirnya aku dan adik letakkan kad itu atas dapur gas. Logik tak? Kami fikir, selepas kami ke sekolah, tentu dapur adalah lokasi pertama yang emak tuju.

Di sekolah, aku berdebar membayangkan reaksi emak. Adik aku pulak, aku tak pasti. Budak umur 7 tahun, reti ke dia nak membayang2kan ni.. paling-paling mesti tengah syok main kejar-kejar dengan kawan dia tu. Balik sekolah, aku tengok emak masak sedap-sedap sangat. Tapi aku segan nak tanya pasal kad tu. Adik aku pulak selamba je. So aku diamkan saja.

Petangnya, aku keluar untuk berjumpa dengan kawan baikku, Rosemawati atau lebih mudah dipanggil Ati. Rumahnya selang beberapa buah rumah sahaja dari rumahku. Sampai-sampai sahaja, aku tengok muka Ati ceria semacam.

Ati : Woi, ta! Kau bagi kad kek omak kau yeh?

Aku : Mano kau tahu?

Ati : Pagi tadi, omak kau datang umah den. Dia suko sangat sobab kau dan Lobai (adikku) bagi kad besday. Dia suko sampai menangis! Dia suruh omak den baca. Dia nampak happy sangat.

Aku : Yo ko? Tapi tadi omak den selambo yo tak cakap apo-apo pun?

Ati : Malu kot?

Ye, mungkin emak malu atau lebih tepat, emak terharu. Maklumlah, selama ini tak pernah sekalipun aku mengucapkan salam hari jadi untuknya. Bermula dari hari itu, setiap tahun pasti aku akan memberikan kad untuk emak. Dari sekolah menengah, masuk pula ke universiti sampailah memasuki alam pekerjaan hatta sampai dah beranak pinak ni pun, kad untuk emak pasti aku tak lupakan.

Tapi aku tak pernah membelikan hadiah untuknya pada hari jadi ini. Aku lebih suka memberikan hadiah padanya ikut suka hati aku je. Kalau aku teragak nak bagi, aku bagi. Biasanya aku suka membelikan dia barangan hiasan rumah ataupun aksesori.

Kini tarikh 9 April hanya tinggal kenangan. Rasanya antara tarikh ini, aku lebih banyak memikirkan tarikh 9 November kerana pada tarikh inilah emak dijemput pulang oleh Penciptanya. Kini, sudah lebih lima bulan emak pergi meninggalkan kami. Tapi, aku rasa emak masih hidup di hati kami. Tak pernah langsung rasa jauh.

Adikku pun dah besar sekarang. 15 April nanti, genaplah usianya 25 tahun.  Walaupun begitu, kenangan aku bersamanya waktu kami masih kecil tetap kukuh terpahat di ingatan. Sewaktu dia berusia antara 4 hingga 6 tahun, aku kerapkan memakaikan baju kurung dan tudung emak pada adik. Kadangkala aku memakaikan inai di jari-jarinya. Dia diam menurut sahaja. Waktu itu aku sangat mendambakan adik perempuan. Oleh sebab aku tak punya adik perempuan, adik lelakiku ini yang ku jadikan mangsa. Namun apabila emak menasihati aku yang perbuatan aku ini tidak elok, barulah aku berhenti ‘mendera’ adikku.

Mak, Ita doakan emak berbahagia di sana. Nantikanlah perjumpaan kita sekeluarga nanti. Moga Allah memberikan peluang itu pada kita. InsyaAllah. Sebagai memenuhi janji pada Allah dan juga pada emak, Ita akan terus berusaha menjadi hamba Allah yang taat, isteri yang baik, mama yang penyayang, anak yang solehah, adik dan kakak yang memahami, kawan yang menyenangkan, pekerja yang ikhlas, jiran yang membahagiakan dan sebagai manusia yang bererti. InsyaAllah.

* Kalau masih ingat, aku pernah menulis tentang kisah adik Haninah Safia Azman yang sedang menunggu penderma hati. Bulan lepas, adik comel ini telahpun pulang ke rahmatullah. Walaupun sedih sebaik menerima khabar ini dari mamanya, aku yakin dia sedang bahagia dan tenang di sana. Anak kecil seperti ini, tentulah syurga menjadi destinasi pasti. Al-Fatihah untuk Safia dan juga untuk emakku..

Carilah Destinasimu…

Posted: February 3, 2010 in Uncategorized

Di petang2 ini, rajin plak aku nak taip kata2 hikmah yang ada kat kalendar 2010 aku nih. Sungguhpun bunyinya agak lawak, tapi ambil maknanya ya!(kata-kata yang sering trainer ESQ ucapkan waktu nak main games).

Kadangkala, hidup kita boleh berubah hanya dengan satu ayat.. Namun, tiada ayat yang terbaik selain ayat-ayat cinta karangan Allah Yang Maha Esa.

Walaupun mungkin kata2 ini sudah sering didengar atau dibaca, tetapi sebagai manusia biasa, kita sering gagal mengambil maknanya. Sama-samalah kita memohon petunjuk-Nya kerana tanpa-Nya, kita akan menjadi manusia-manusia celik yang buta.

Don’t see others as doing better than you. Beat your own records daily because success is a fight between you and yourself.

If we fight, we may not always win but if we don’t fight, we will surely lose!

You can’t change what you have started, but you can change the direction you are going to do, but it’s what you’re doing now that counts.

If you miss an opportunity, don’t close your eyes with tears, keep your vision clear so that you will not miss the next one.

It is not important as to how many times you have fallen, but it is important as to how soon you have risen up to the challenge.

Your greatest self has been waiting your whole life, don’t make it wait any longer.

Puisi Angah Untuk Emak

Posted: January 6, 2010 in Uncategorized

Aku copy puisi ini dari blog angah. Ringkas tetapi mendalam.

Untuk Emak; Rahina Mansor yang telah kembali ke Rahmatullah:
9 April 1954 – 9 November 2009

Syaiun lillahi lahumul Fatihah….

Al Fatihah

Wahai Emak yang sangat ku kasihi,
Pergimu di dunia tak akan kembali,
Kerana akhirat jua yang kekal abadi,

Walau sedih ketiadaanmu aku tangisi,
Namun hatiku tenang gembira sekali,
Kerana pergimu dalam redha Ilahi,
Diiringi bekalan kemudian hari,
Beroleh matlamat kehidupan hakiki,

Kutahu emak selesa di sana,
Tenang, tenteram, aman dan bahagia,
Saban waktu tidak kulupa,
Kupanjatkan khatam tahlil zikrullah dan doa buatmu wahai bonda,
Sebagai teman dan santapan rohmu sentiasa,

Wahai Tuhanku yang Maha Berkuasa,
Dengan Iradat dan sifatMu yang Maha Kaya,
Satukanlah semula kami sekeluarga,
Dalam rahmat dan nikmatMu yang tersedia,
Hidup kekal di Alam Baqa’

Amin

Wahai JIWA yang tenang…………
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan REDHA dan DIREDHAI…
Masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKU….
Masuklah ke dalam SYURGAKU….

Wassalam

Khairul deadfish

12.34 tghr – Baru setengah jam aku sampai di ofis. Sampai setelah aku melunaskan fardhu kifayahku untuk membantu saudara seagama denganku. Sampai setelah aku diberi ‘tunjuk ajar’ secara langsung oleh Allah SWT betapa kita ini hamba kecil yang tidak berdaya, hanya untukNya kita berusaha, hanya padaNya kita berdoa dan meminta.

Susah nampaknya penjelasanku itu, kan? Hehe.. okaylah aku ringkaskan sedikit. Sebenarnya aku baru pulang untuk tugasan PENGALAMANKU. Sememangnya inilah ruangan yang paling aku sayang dalam majalah RAPI ni. Inilah antara peluangku untuk belajar tentang hakikat sebenar kehidupan.

Sebentar tadi aku bertemu dengan adik comel, Haninah Safia yang bakal mencecah usia 2 tahun pada bulan hadapan. Walaupun sudah mencapai usia kanak-kanak, fizikal dan peribadi Safia tak ubah seperti bayi. Perkembangannya sedikit terganggu berikutan dia menderitai penyakit Biliary Aterisia atau bengkak hati. (Melihat keadaan Safia tadi, serta merta teringatkan arwah emak. Kes mereka hampir sama).

Safia hanya seberat 9 kg. Tubuhnya kurus dan perutnya buncit. Mata hitamnya bulat tetapi mata putihnya berwarna kuning. Ketika aku sampai, dia begitu comel mengenakan gaun polka dot warna merah jambu. Rambutnya disisir rapi. Rehatnya bertemankan boneka-boneka kecil. Mamanya, Noor Suehaila begitu setia menemaninya di sisi.

Ketika aku sampai, Safia hairan memerhatikan aku. Alhamdulilah dia tidak menangis kerana menurut mamanya, Safia akan menangis kalau bertemu dengan orang yang tidak dikenalinya. Aku membelai rambutnya. Aku usap keningnya. Dia tidak menangis tetapi dia kelihatan hairan. Mungkin juga menahan takut. Dia hanya terbaring dan tampak agak lemah.

Aku terus berbual dengan emaknya perihal Safia. Masih aku ingat ayatnya, “Saya akan terus berikan yang terbaik untuk Safia. Saya rela berkorban untuknya,”. Demikianlah ayat sang ibu, tulus ikhlasnya begitu jelas, tidak perlu ditunjuk-tunjuk. Semasa kami berbual, sesekali Safia mengeluarkan suaranya. Lagaknya tak ubah seperti hendak menegur mamanya. Kata Sue, mungkin dia hairan melihat mamanya bercakap banyak sedikit hari itu. Mungkin kerana perbualan kami yang agak lama, Safia akhirnya tertidur.

Sebenarnya, jauh di lubuk hati, aku menahan tangis yang bukan kepalang. Kejam sekali aku rasa jika aku menangis di hadapan mama Safia. Syukurlah Allah mengurniakan ketabahan hati yang sangat hebat untuk Sue. Wajahnya memaparkan keyakinan, suaranya menggambarkan ketabahan. Anugerah siapa semua itu kalau bukan anugerah-Nya? DIA beri satu ujian tetapi dalam masa yang sama, DIA tambah dengan dua pemberian. Apapun, pemberian itu usah bayangkan yang bersifat material sahaja.

Dalam kes mama Safia, Allah uji dirinya dengan mengurniakan seorang anak yang sakit. Tetapi dalam masa yang sama, Allah kurniakan pula ketaqwaan, keimananan yang mantap dan ketabahan hati yang bukan kepalang. Tak cukupkah lagi? Alangkah malunya jika kita merintih sana sini tanpa mahu melihat yang ‘tersembunyi’.

Buat masa ini, hanya rawatan organ transplant sahaja yang paling sesuai untuk Safia. Malang sedikit, Safia harus menunggu lebih lama kerana senarai pesakit-pesakit seumpamanya juga sudah terlalu ramai. Lebih menyedihkan, tidak ramai orang yang sudi tampil sebagai penderma hati. Paling menyentuh hatiku, Sue memberitahu yang doktor hanya menganggarkan tempoh hayat Safia sehingga usia 2 tahun sahaja. Tetapi Sue tidak nampak sedih. Dia nampak kuat dan yakin. Dia terbukti lebih mempercayai Allah daripada ramalan doktor. Tak apalah Sue kerana Allah Maha Tahu.

Sempat Sue merayu kepada orang-orang yang sihat di luar sana. Kalau mereka berkemampuan dan ikhlas, dermakanlah hati bagi mereka yang memerlukannya. Waktu aku hendak menulis luahan hati Sue inipun, tanganku bergetar sendiri. Itu mereka. Tetapi bagaimana dengan aku? Mampukah aku?

Rasa berat hatiku ketika ingin pulang meninggalkan Sue dan Safia. Tak tahu bilakah hendak berjumpa lagi. Berulang kali aku mengusap rambut Safia. Hati begitu ingin mendakapnya tetapi wayar dan tiub yang terlalu banyak pada tubuh Safia menghalang hasratku. Puas aku gagahkan akhirnya gugur juga air mataku di hadapan mereka.

Safia, auntie doakan agar Safia akan bertemu dengan penderma hati yang paling sesuai untuk Safia. Auntie doakan agar Safia akan kembali sembuh dan pulih seperti kanak-kanak seusiamu. Tabahlah Safia agar kau boleh mengukirkan kembali senyuman di bibir mama, ayah dan kakakmu. Apapun terjadi, letakkan Allah SWT di hadapan sekali.

SATU

Posted: December 4, 2009 in Uncategorized
Aku ini adalah diriMu
Cinta ini adalah cintaMu
Aku ini adalah diriMu
Jiwa ini adalah jiwaMu

Rindu ini adalah rinduMu
Darah ini adalah darahMu

Tak ada yang lain..selain diriMu
Yang selalu ku puja 
Ku sebut namaMu
Di setiap hembusan nafasku
Kusebut namaMu
Kusebut namaMu…

Dengan tanganMu aku menyentuh
Dengan kakiMu aku berjalan
Dengan mataMu ku memandang
Dengan telingaMu ku mendengar
Dengan lidahMu aku bicara
Dengan hatiMu aku merasa

Ya Allah, sesungguhnya aku ini adalah orang yang kecil, orang yang hina, orang yang lemah tiada daya upaya. KAU lah yang menggerakkan aku, menguatkan aku, memberi makna kepadaku. Dengan sifatMu aku merasa, dengan sifatMu aku bicara.
ALLAH itu ghaib tetapi DIA nyata.
Sungguh DIA ghaib, tidak terlihat oleh mata kita. Tidak tersentuh oleh tangan kita. Tidak terhidu oleh semua pancaindera kita.
Tetapi DIA ‘menyatakan’ diri-NYA di dalam diri kita.
Tidak bermakna diri kita tanpa izin-Nya. Tidak bererti kita tanpa-Nya. Tidak hidup kita tanpa-Nya.
Jelas ternyata, diri kita sendiri pun bukan milik kita. Lantas, apa yang menyebabkan kita menjadi manusia yang terlalu bongkak mendabik dada?
Kala nikmat Allah iaitu nyawa masih bersatu dengan jasad, ya mungkin kita dapat terus berbangga-bangga. Tetapi bayangkan jika nikmat itu Allah ambil semula, bagaimana kau masih mahu membongkak dan sombong dengan tubuh yang kejang dan kaku seperti itu? Lalat hinggap sekalipun takkan mampu tangan kau menepisnya. Allahuakbar! Allah Maha Besar.
Ya Allah, jadikanlah aku dalam golongan mereka yang sentiasa mentauhidkan-Mu. Pandulah aku Ya Allah kerana sesungguhnya tanpa-Mu, aku pasti berada di laluan yang salah.
Ya Allah Ya Tuhanku
Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Redhailah suamiku..
Redhailah anak-anak dan keturunanku
Redhailah ibu bapa dan ibu bapa mertuaku
Redhailah adik beradik dan adik beradik iparku
Redhailah kaum kerabatku
Redhailah jiran tetanggaku
Redhailah sahabat-sahabatku
Redhailah seluruh muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat baik yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia
Redhailah sesiapa sahaja yang membaca tulisanku berserta ibu bapa dan ahli keluarga mereka selagi mereka masih berada dalam agama-Mu.
Hanya dengan redha-MU, kami semua dapat meneruskan perjalanan bertemu-MU dengan lancar tanpa gagal.
Biarlah kami derita di sini, asalkan bahagia di sana.
* jika berkesempatan, lawatilah laman web abangku di www.deadfish76.blogspot.com
sesungguhnya aku peminat setia tulisannya.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Redhailah aku Ya Allah..
Tabahkanlah hatiku Ya Allah..
Kukuhkanlah imanku Ya Allah..
Izinkanlah agar aku sentiasa berada pada jalan-Mu yang lurus Ya Allah..
Baik ketika aku hidup mahupun setelah aku mati Ya Allah..
Tiada lain yang aku harapkan melainkan redha-Mu Ya Allah
Amin Ya Rabbul Alamin

Satu ketika dahulu..

Aku dan emak memang rapat. Emak bagaikan sahabat karibku dunia akhirat. Semua tentang aku baik yang nyata mahupun yang terselindung ada dalam pengetahuannya. Mungkin disebabkan aku seorang sahaja anak perempuannya, membuatkan dia sangat memanjai aku. Kala gembira, pada emaklah ku tuju. Kala sedih, juga emak yang aku perlu. Perkongsian kami bukan setakat hal antara ibu dan anak, bahkan juga hal perasaanku. Siapa teman lelakiku waktu itu, siapa teman rapatku.. pendek kata semuanya dia tahu. Dari mula aku mengenal dunia, bersekolah, melanjutkan pelajaran dan bekerja, emak sentiasa menduduki takhta teratas senarai VIP dalam hidupku.

Sehinggalah aku ditemukan jodoh dengan suamiku, Reza Huzairi Zainudin, emaklah orang kuat yang merealisasikan segala-galanya. Dia nampak cukup gembira pada hari pernikahanku. Bahkan dia berusaha untuk memakai yang cantik-cantik dan terbaik pada hari itu untuk menggembirakanku. “Kalau emak pakai x cantik, nanti Ita merajuk”, itulah antara ayatnya yang aku rasakan lucu (waktu itu). Tapi, sekarang?

Itulah juga ayat yang dilafazkan sewaktu menghadiri majlis konvokesyenku. Pada adiknya dia berkata “Akak kena pakai lawa-lawa, Anum. Nanti Ita merajuk”.

Emak.. begitulah dia. Selalu memahami kehendakku. Selalu cuba menggembirakan aku.

Waktu aku mula-mula disahkan hamil anak kembar, emak gembira dalam gusar. Setiap hari dia memesanku dengan pelbagai nasihat. Jaga makan, kuatkan hati, jaga amal ibadat.. semua sekali. Kemudian apabila tiba saat aku melahirkan, emak tak tidur malam dan bersembahyang hajat untuk mendoakan keselamatanku. Matanya tak mahu lelap. Dia seakan ingin mengambil segala kesakitan itu dariku. Dan apabila cahayamata sulung dan keduaku lahir, emaklah orang yang paling banyak tersenyum. Itulah cucu pertama dan keduanya. Datang sekali dalam satu masa. Wajahnya nampak sangat puas. Masih aku ingat riak wajah emak waktu itu.

Disebabkan aku masih tak punyai pembantu, emaklah yang menjaga kedua-dua anak kembarku di kampung ketika aku mula hendak bekerja. Ketangkasan dan kelincahannya membuatkan dia tidak kisah mengendalikan dua bayi kecil sekaligus. Setiap hujung minggu aku pasti pulang ke kampung untuk melihat anak-anakku. Tetapi selalunya emaklah yang akan berjaga malam untuk anak-anakku. Aku? Hanya tahu ‘membuta’.
Indahnya aku rasakan apabila mempunyai ibu. Rasa bahagia yang tak terungkap.

Dari mula mengenal wujudnya ibu dalam hidupku sehinggalah usiaku menginjak ke 32 tahun ini, emak tetap VIP. Walaupun aku tahu balasan kasih yang aku berikan untuknya tidak mampu menyaingi kasihnya pada aku dan anak-anaknya yang lain, aku tetap cuba memberikan yang terbaik.

Pertengahan Tahun Ini

Dalam bulan Mei, emak mengadu tentang tubuhnya yang agak lemah. Gastriknya juga semakin menjadi-jadi. Memikirkan yang emak sangat jarang sakit apatah lagi diserang demam, aku merasakan hal itu biasa sahaja. Aku nasihatkan dia agar sering makan ubat. Apabila dia mengadu selera makannya semakin kurang, aku belikan bijirin, susu dan bermacam-macam lagi sebagai ganti kepada nasi. Anehnya, apabila aku pulang ke kampung untuk bulan berikutnya, makanan yang aku beli langsung tidak terusik.

Waktu ini, aku perasan tubuh emak semakin kurus. Apabila aku bertanya, dia kata itu mungkin ilusi aku. Tetapi dia tak menafikan yang dia membuat ekstra kerja untuk mengemas rumah. Aku melarangnya mengemas terlalu banyak. Tapi dia hanya tersenyum. Emak..emak.. hobinya itu memang aku tahu. Dia sangat suka menghias rumah. Sehari sampai berkali-kali dia mengemas rumah. Pendek kata, satu habukpun tiada kalau emak mengemas. Langsir, cadar, bunga-bungaannya semua terhias indah.

Emak Jatuh Sakit

Bulan berikutnya, aku perasan kelainan pada warna mata emak. Mata putihnya agak kekuningan. Aku memintanya merujuk kepada doktor. Selepas dia membuat ujian darah, doktor memberitahu terdapat masalah pada hati emak. Emak kemudiannnya memilih untuk ke Hospital Besar Melaka.

Hampir dia minggu didiagnosis, doktor memberitahu hati emak sudah tak boleh dirawat lagi. Bahkan komplikasi pada hati itu sebenarnya ialah punca daripada kanser. Yang lebih menyedihkan, kanser itu sendiri tidak tahu dari mana puncanya dan ia sudahpun berada di tahap 4. Masih aku ingat sewaktu emak menghubungiku untuk memaklumkan keadaan ini. Kata emak, doktor dah tak boleh tolong dah. Sumpah! Aku rasa hendak luruh jantung ini mendengar kata-kata emak. Cepat-cepat aku kuatkan semangatnya. Aku positifkan mindanya. Walaupun sebenarnya minda dan hati aku sendiri sangat berkecamuk dengan kebenaran ini.

Yang membuatkan semuanya tambah sayu ialah semua ini berlalu terlalu pantas. Dan ia berlaku sewaktu seluruh umat Islam sedang berpuasa. Kami adik beradik bersepakat membuat solat hajat dan membantu sedaya upaya.

Pada hari Raya Aidil Fitri baru-baru ini, bapa dan emak mertuaku datang bertandang ke rumah untuk bertemu emak dan ayah. Pada ayah, bapa mertuaku memberikan usul agar kes emak ini dirujuk ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Alhamdulilah ayah bersetuju dengan saranan itu.

Bermula dari hari Ahad bersamaan 27 September 2009, emak meninggalkan rumah untuk ke HUKM. Rupa-rupanya itulah tarikh akhir emak berada di rumah yang disayanginya. Lebih kurang sebulan lebih berulang alik dari HUKM ke Bangi (rumah angah), barulah emak dapat kembali semula ke rumahnya. Namun kembalinya emak kali ini bukan seperti biasa.

HUKM Juga Gagal Mengesan Punca

Lebih kurang dua minggu emak di HUKM, ternyata pakar-pakar mereka juga gagal mengesan punca kanser emak. Tetapi masalah lain pula timbul. Paru-paru emak telah dimasuki air. Akibatnya emak cepat penat kerana kekurangan oksigen. Banyak kali proses mengeluarkan air dari paru-paru dibuat. Ada yang di HUKM, di Bangi dan yang terakhir kali ialah di Hospital Besar Melaka.

Dalam pada berulang alik ke HUKM, emak tinggal di rumah angah. Sementara ayah pula berulang alik dari kampung ke Bangi. Waktu ini kesihatan emak sudah merosot. Dia tak mampu lagi bergerak banyak. Bahkan solatnya juga terpaksa dilakukan dalam keadaan duduk. Saban waktu emak lebih banyak berbaring di atas katil. Makannya juga seperti dipaksa-paksa. Menelan satu suapan nasi ibarat menelan bola api. Setiap minggu aku akan datang melihat emak. Pernah dia meminta aku menyediakan kurma daging. Kata emak, kurma daging yang aku masak sedap. Aku masak sepenuh jiwa. Rupa-rupanya itulah masakan terakhirku yang emak dapat rasa. Begitupun emak makan tak banyak. Sesenduk nasi pun hampir setengah jam untuk dia menghabiskannya.

Saban waktu, kami semua cuba menceriakan emak. Ayah, along, angah, aku dan lobai (adik bongsu) cuba memberikan yang terbaik pada emak. Tetapi emak bagaikan dah tahu yang dia akan pergi meninggalkan kami. Dia jarang berbual dan lebih banyak mendiamkan diri. Terasa berbeza sekali kelakuan emak ini berbanding dahulu. Emak yang aku kenal sangat peramah, periang, suka berbual, suka melawak dan pendek kata dialah pencetus suasana ceria. Tapi kali ini emak lain sangat..

Sebenarnya satu yang emak tidak tahu, doktor di HUKM sudah memberikan kami gambaran pasti tentang penyakitnya. Kata doktor, kanser emak dipanggil advanced cancer. Kondisi kanser itu juga sudah berada pada peringkat merbahaya. Doktor juga menganggarkan emak cuma ada masa enam bulan sahaja untuk hidup.

Memang kami faham dengan keterangan doktor. Namun pergantungan manusia itu hanyalah pada Allah bukannya dengan makhluk. Doktor sekadar menjalankan tugasnya dan kami menghormatinya. Namun keimanan kami tetap pada Allah. Tempoh enam bulan yang doktor berikan tidak kami hiraukan. Yang penting sekarang ialah usaha dan doa yang tidak berhenti.

Angah aku tak putus-putus mencari maklumat perubatan alternatif terbaik untuk membantu emak. Begitu juga dengan suamiku. Along dan lobai tak pernah gagal bertemu emak setiap minggu. Ayah pula sentiasa cuba menghiburkan dan mengikut segala kehendak emak saban waktu.

Satu hari, emak meminta untuk balik ke rumah adiknya di Tampin, Negeri Sembilan.
Adik emak yang aku panggil Pakdah ini sangat-sangat menyayangi emakku. Pernah satu malam sewaktu aku berbual dengan emak di telefon, aku terdengar suara emak menangis. Perbualan kami lebih kurang begini :

Emak : Pakdah baik sangat. (sambil menangis)
Aku : Kenapa mak?
Emak : Pakdah jaga emak baik sangat. Dia yang mandikan mak, sikatkan rambut mak, pakaikan bedak, ambilkan air sembahyang mak..
Aku : (menangis dalam hati). Memang Pakdah baik kan..
Emak : Angah pun baik. Dia jaga emak macam Pakdah

Pernah juga aku teringat perbualan ini. Kata-kata ini emak keluarkan ketika dia di hospital.

Emak : Emak cuma minta dua perkara saja waktu ini. Pergi Mekah tunaikan haji dan tengok lobai kahwin.
Aku : Kenapa mak cakap camtu. InsyaAllah, mak dapat buat semua tu.
Emak : (Diam)

Emak..emak.. ternyata rupa-rupanya emak seakan tahu yang masa emak hampir tiba. Kenapalah aku terlalu bodoh untuk memahami semua ini?

Perhujung Oktober 2009

Emak enggan lagi melayani panggilan telefonku. Kata emak, dia agak penat untuk bercakap dan berbual. Walaupun terlalu sedih, aku faham dengan keadaan emak. Bahkan Reza juga melarang aku daripada mengganggu istirehat emak. Sementara aku dan angah saling berbalas SMS untuk mendapatkan perkembangan terbaru. Waktu ini emak sudahpun dimasukkan ke Hospital Paliatif Melaka. Proses menyedut air dari paru-parunya sudahpun diberhentikan.

6 November 2009 – Sabtu

Aku, angah dan lobai sama-sama ke Hospital Paliatif Melaka untuk melihat emak. Sungguh aku akui, hatiku terlalu berdebar untuk melihat keadaan emak waktu ini. Seminggu tidak berbual dengannya membuatkan aku tiada gambaran pasti tentang keadaan emak.

Kami sampai di hospital lebih kurang jam 3 petang. Sebaik turun dari kereta, aku berzikir dan menyerahkan segala-galanya pada Allah. Sampai sahaja di wad emak, aku terhenti di muka pintu. Lutut aku terasa begitu lemah. Kalau aku tak kuat, pasti aku rebah di situ juga. Itukah emak aku? Ya Allah…. Kasihannya emak. Tubuhnya terlalu lemah. Dia sedang tidur ketika tiga orang anaknya ini sampai. Along yang sudah sampai terlebih dahulu sedang menunaikan solat Zohor di tepi katil emak waktu itu. Dada emak turun naik begitu perlahan. Seakan seksa untuk emak menarik dan menghela nafas. Tak lama kemudian, emak membuka mata. Namun pandangannya kepada kami seakan satu pandangan yang kosong.

Kami bertiga menyalami emak penuh kasih. Tidak banyak yang kami bualkan. Dia kemudiannya memilih untuk tidur semula. Begitu jelas emakku sedang menanggung letih yang teramat sangat. Dengan tenaga yang kurang, selera makan yang hilang.. pastilah tubuhnya tidak mampu menanggung semua itu.

Selama kami berada di sisi emak hari itu, tidak sekalipun kami berbual. Emak cuma bercakap yang perlu-perlu sahaja. Antaranya dia ingin minum susu, ingin duduk, ingin tidur dan ya.. itu sahaja.

Selepas solat Isya’, emak meminta kami berempat untuk pulang. Along enggan dan katanya dia ingin tunggu lagi. Angahku juga agak keberatan untuk pulang. Begitu juga dengan aku dan adikku. Tetapi emak memberitahu yang dia ingin tidur dan mahu kami pulang segera. Tambahan pula kata emak, rumah kami agak jauh antara satu sama lain. Sedihnya aku dengan emak.. dalam pada sakit-sakit ini, dia masih lagi ada ruang untuk memikirkan tentang keadaan kami.

Yang paling menyedihkan aku, angah dan adikku menyalami dan mengucup pipi dan dahi emak sampai dua kali. Angah dan adikku sempat merenung wajah emak yang terbaring sambil tangan mereka mengusap lembut ubun-ubun emak. Aku tak sanggup lagi melihatnya. Ketika tiba giliran aku menyalami tangan kurus emak, aku rasakan tangan itu sangat berbeza daripada dahulu. Tangan itu terlalu kaku. Berbeza dengan tangan emak dahulu yang putih dan berisi. Ketika aku mencium pipi dan dahi emak, sebenarnya tangisan sudah terlalu lebat di dalam hatiku. Emak tidak dapat memberikan reaksi. Ketika kami bergerak ingin pulang, emak tidak menutup matanya. Tidak juga memandang kami. Sebaliknya mata emak hanya merenung siling. Aku sempat tanyakan sama ada emak merasa sakit, namun dia tidak menjawab pertanyaanku. Rupa-rupanya itulah kali terakhir kami bertemu. Emak bagaikan ingin melindungi kesedihannya cuma dia tidak mampu untuk menerangkannya kepada kami.

9 November 2009 – Isnin

Aku bekerja seperti biasa. Lebih kurang jam 12.57 tengahari aku mendapat mesej dari angah yang berbunyi begini :

“Salam ta, td call ayah. Dio kata omak makin lomah, tanah mkn & minum. Tp boleh lg gerak angkat kaki. Ayah mintak dr masukkan air pakai drip untuk gantikan makanan. Tp dr blom buat lg. Kito teruskan doa pd Allah Taala. InsyaAllah.”

Aku sudah mulai gelisah. Kebetulan aku di luar waktu itu dan terus pulang ke rumah selepas urusan selesai.

Jam 3.57 petang, sekali lagi mesej angah sampai dengan pesanan yang sedikit menakutkan seperti ini :

“Salam, ayah tepon tadi, omak dah taknak cakap tanak apo2 dah. Mungkin dah tak terdayo. Nurse tu posan suruhlah anak2 dtg.”

Jantungku bagai nak pecah. Aku terus menghubungi Reza dan memberitahu ingin pulang. Reza memintaku menyediakan pakaian segera sementara dia hendak meminta kebenaran keluar awal dari ketuanya. Selepas selesai, aku pun mandi dan bersiap untuk menunaikan solat Asar. Sebaik sahaja keluar dari bilik mandi, aku perasan ada satu mesej Angah yang baru sampai.

Aku terus membukanya.

Ternyata mesej itu cukup ringkas. Cukup pendek. Tetapi ia sangat-sangat merentap seluruh jantung dan pancainderaku.

“Omak dah poi dah”

Innalilahiwainnailaihirajiun… bibirku terus menuturkan ayat ini. Ya Allah, aku redha dengan ketentuan-Mu ini Ya Allah. Dari-Mu kami datang dan kepada-Mu jugalah tempat kembali kami. Semoga emakku mendapat Khusnol Khatimah. Peliharailah roh emakku Ya Allah. Redhailah dia.

Dalam fikiran, wajah emak berbalam-balam mendatangi mindaku. Begitu hebat begitu dahsyat. Aku terus duduk di birai katil dan memandang ke luar tingkap. Hujan mengiringi pemergian emak waktu itu. Air mataku begitu laju, sama lajunya dengan air hujan yang turun petang itu.

“Mak, maafkan Ombong mak. Maafkan Ombong sebab Ombong tak ada saat emak pergi. Maafkan Ombong kalau sepanjang emak sakit ini Ombong tak dapat berikan perhatian yang cukup eksklusif untuk mak. Maafkan Ombong. Ampunkan semua kesalahan Ombong, mak. Baik yang besar mahupun yang kecil. Ampunkan Ombong dunia akhirat. Mak..halalkanlah makan, minum, perhatian, kasih sayang dan semua sekali yang telah mak bagi kat Ombong sepanjang mak hidup, mak. Halalkan semua sekali baik yang kecil mahupun yang besar, mak. Halalkan untuk Ombong dunia akhirat, mak..”

Al-Fatihah.

Itulah harapan yang aku ungkapkan di tepi pusara emak, sehari selepas dia disemadikan. Bagaikan mengerti, keadaan di tanah perkuburan waktu itu cukup hening dan cukup sunyi. Aku luahkan semuanya di tepi pusara emak. Air mata gugur bertali arus bagaikan empangan yang sedang pecah. Zizry yang setia menemani di sisiku juga diam tak terkata.

Emak, satu-satunya anak perempuan emak ini ingin mengakui.. perginya emak sebenarnya telah membawa seluruh semangat ini. Rasa ingin rebah dan tak mampu untuk berdiri lagi. Namun syukurlah aku mempunyai suami, anak-anak, ayah, abang-abang, adik dan keluarga yang sangat menyayangi aku. Syukurlah ibu-ibu saudara aku juga masih ada untuk mencurahkan kasih mereka kepada kami. Syukur juga kerana aku mempunyai sahabat-sahabat yang terlalu memahami.

Apa-apapun, emak tetapi VIP. Emak tetap abadi. Aku berdoa agar aku akan bertemu sekali lagi dengan emak. Tak mahu di tempat lain… aku hanya mahu bertemu emakku di syurga. InsyaALLAH. Moga kami diredhai dan moga JANNAH lah tempat akhir kami. InsyaALLAH. Percayalah, andai saat itu tiba, aku hendak peluk emak seerat-eratnya…

Ingatan abadi buat allahyarhamah emakku,
RAHINA MANSOR (9 April 1954 – 9 November 2009)
Salam kasih tulus suci untukmu..
Al-Fatihah

kisah anak-anak

Posted: October 23, 2009 in Uncategorized

Baru je aku bukak pintu lepas balik kerja semalam, tiba-tiba adik peluk aku. Muka dia macam bersalah. Aku dah terdetik, ni mesti ada sesuatu. Belum sempat aku bertanya, Ziqry dah mengadu.

Ziqry : Mama, adik cucuk mata kawan!

Aku : Haa?? cucuk dengan apa?

Ziqry : Dengan pensil. Kawan perempuan. Cikgu marah adik.

Aku : Kenapa adik cucuk mata kawan? (nada marah)

Adik : (Diam sambil muka nak menangis)

Aku : Dia buat apa kat adik sampai adik nak cucuk mata dia?

Adik : (Diam lagi)

Aku : Mama taknak cakap apa-apa. Nanti mama bagitahu ba.

Adik : (Menangis) Janganlah mama. Adik taknak mama cakap camtu.

Aku terus diam sambil membebel serba sedikit. Aku tahu, kalau aku marah, dia akan menangis dan suruh aku pujuk dia. Maklumlah, dia tu manja sangat dengan aku. Tapi dengan Reza, dia takut sikit. Sambil membebel aku ke dapur untuk masak. Dia ikut aku dari belakang. Ziqry pun sama.

Aku : Adik tahu tak, kalau adik buat macam tu, polis boleh tangkap adik tau. Polis boleh masukkan adik dalam penjara. Nanti tak dapat jumpa ba, mama, abang dan jil. Takut tak?

Yang kelakarnya, tiba-tiba Ziqry menyampuk.

Ziqry : Nanti polis hukum adik. Polis rotan adik. Polis yang suapkan adik makan. Polis pon nanti x bagi adik makan. (Kat sini aku dah tergelak sket tapi aku cover). Polis tu nanti kurung adik dalam penjara tau tak? (sambil mencekakkan pinggangnya)

Adik terus menangis sampai muntah. Time tu aku tengah kupas bawang. Jil pulak dok sibuk baling mangkuk plastik kat serata dapur.

Aku : Ha, biar dia muntah kat situ. Biar dia bersihkan sendiri.

Ziqry : (berdiri dan cekak pinggang) Kenapa adik muntah ni. Eeiii.. geli..geli..

Aku diam seribu bahasa. Adik terus menangis. Beberapa minit lepas tu, Ziqry berbisik pada aku.

Ziqry : Mama, tak boleh ke abang nak bersihkan muntah adik tu?

Aku : Abang boleh ke? Tak geli?

Ziqry : Tak, tu adik abang. Abang tak geli muntah dia.

Aku : Ha, pergilah. Amik kain ni.

Meluru anak sulung aku ambil kain dan mengelap muntah Zizry. Tersentuh hati aku. Sedih sangat. Sambil membebel, dia terus mengelapkan muntah adiknya. Adiknya pula bila tengok abangnya membantu dia, terus terdiam tiba-tiba.

Tak lama kemudian, Reza pun balik. Biasalah, lepas kene marah, tangan pun kene rotan. Sebagai hukuman, Reza tak bagi Zizry main games. Nak tergelak juga aku dgn hukuman bapa zaman sekarang. Sambil menangis, dia janji tak mahu buat lagi. Bukan apa, risau jugak dengan tindakannya itu. Buatnya dibawa-bawa sampai besar, susah kami nanti. Kata orang dari kecil inilah nak mendidik dia. Kalau buat salah, harus ada hukuman setimpal agar dia sedar dan belajar dari kesilapan. Kalau dia buat benda baik, harus ada ganjaran.

Mencabar sebenarnya jadi ibu bapa ni. Waktu-waktu macamni, barulah sedar susah rupanya emak dan ayah nak membesarkan diri aku ni. Kalau dulu emak marah, aku anggap emak tak sayang aku. Kalau ayah terlalu mengawal, aku anggap ayah tak sporting. Apa sahaja yang mereka buat aku selalu pandang dari sudut negatif. Rupa-rupanya dengan cara itulah aku dapat jadi ‘orang’. Walaupun aku tidak begitu sukses dalam akademik macam abang2 dan adik aku (maklumlah aku ni kuat berangan), alhamdulilah aku masih boleh membina karier dan keluarga seperti mana yang diizinkan-NYA.  Aku masih boleh masuk universiti, masih boleh memilih bidang yang aku gemari dan menceburi kerjaya yang sangat aku sukai. Agak2nya kalau aku belajar betul2 dulu, kerusi Najib Tun Razak tu sure aku punye hari ni. He he.. propa je lebih aku ni.

Buat anak-anakku, mencabar dan sesukar manapun membimbing kalian, tidak akan sekali-kali kami berputus asa. Sehingga ke hembusan nafas terakhir pun, akan kami cuba membentuk kalian menjadi hamba Allah yang benar-benar bertaqwa dan kaya dengan iman dan amal. Biar miskin harta dunia, asal kaya ‘harta akhirat’. Dunia ini palsu sayangku, akhirat itu pasti. Imbangkan dunia dan akhirat dengan bijak dan sempurna, InsyaALLAH kalian akan sentiasa selamat.  Moga kenakalanmu terhenti sebaik kalian sudah tahu membezakan antara benar dan salah dan antara dosa dan pahala. InsyaALLAH.