Ramadhan Lalu..

Posted: August 11, 2010 in Uncategorized

Sedar tak sedar, Ramadhan kini tiba lagi. Alhamdulilah, rasa syukur kupanjatkan ke sisi Ilahi kerana tahun ini aku masih diberikan peluang untuk merasai kemanisan bulan yang sangat mulia dan penuh berkat ini. Kesihatan, rezeki dan kasih sayang yang Dia turunkan padaku begitu banyak sehingga jujur ku akui, aku x mampu membalas kesemuanya sekali. Suami dan anak-anak berserta seluruh kaum keluargaku juga ada bersama-samaku kali ini. Cuma seorang yang tiada. Seorang yang begitu berkesan di hati ini. Inilah Ramadhan pertamaku tanpa dirinya..

Ramadhan lalu, air mataku banyak tertumpah menangisinya. Bahkan solatku, doaku dan tarawihku sering bersulam air mata hanya kerananya. Reza perlu menenangkanku setiap kali kami selesai bersolat jemaah.  Solat hajat ku persembahkan padaNya demi memohon kesejahteraan insan itu. Surah Yassin dan AsmaulHusna juga aku dan Reza lagukan demi memohon keampunan dan petunjukNya.

Ramadhan yang lalu, telefon ibarat nyawa keduaku. Nada deringnya ku kuatkan pada volume tertinggi, bimbang jika aku terlepas peluang menjawab panggilan insan itu. Setiap detik penuh debaran. Menu berbuka puasa juga tidak seadanya. Reza juga faham. Tidak meminta hidangan yang berlebih-lebihan kerana sedar emosiku tidak keruan.

Ramadhan yang lalu, bibirku ku mengukir senyum tetapi hati berdarah luka. Tidur malamku tak pernahnya lena kerana bimbang memikirkannya. Pekerjaanku juga kurang sempurna kerana hati terus-terusan mengingatinya. Pertama kali bertemunya di Ramadhan lalu, tubuhku lemah tak bermaya. Dia begitu bersemangat bercerita seperti selalu. Tetapi tidak aku. Sebelum pulang meninggalkannya seorang diri di situ, aku tak dapat menahan tangis. Aku peluknya seerat mungkin. Dia juga menangis kerana hatinya goyah melihat aku yang tiba-tiba lemah. Buat apa menangis, katanya. Umurnya panjang lagi, dia menambah. Sepanjang Ramadhan lalu, aku dan adik beradik yang lain bersilih ganti menemuinya. Tidak cukup dengan hanya pertemuan, doa dikirim dari jauh agar dia tidak pernah kering dengan kasih sayang kami semua.

Ramadhan lalu juga sudah menjadi penamat untukku merasai keenakan masakannya. Walaupun dia masih ada tika itu, tidak mungkin dia mampu menyediakan hidangan untukku. Selama 32 tahun aku menikmati kehebatan air tangannya, tetapi Ramadhan lalu ternyata telah menjadi noktah akhir bagi segala-galanya.

Duka sekali Ramadhan lalu kan? Tetapi jawapan sebenarku, kini tidak lagi. Sedih dan rinduku terubat kerana aku tahu, dia pergi kepada yang berhak ke atasnya. Sayu dan piluku terjawab kerana dia pergi dalam redha Penciptanya. Tangis dan senduku terbalas kerana aku tahu Allah menyayanginya sehingga dia dipanggil terlebih dahulu berbanding aku dan kita semua. Dukaku hanya sementara.. redhaku yang berpanjangan sentiasa.

Memang aku tak sempat membisikkan kata-kata sayang padanya di saat-saat akhirnya. Memang aku tak sempat memohon ampun di telinganya di saat-saat nadinya masih bersisa. Tapi tak mengapa. Sudah aku sampaikan kesemuanya menerusi izin Yang Maha Esa. Sudah aku sampaikan salam rinduku padanya, sudah aku sampaikan rasa cintaku padanya, sudah aku panjangkan kemaafanku kepadanya. Semuanya menerusi Tuhanku sendiri. Allah SWT yang sangat aku cintai melebihi cinta kepada diriku sendiri.

Ya Allah Ya Tuhanku, di manapun dia, bagaimanapun dia.. semuanya adalah di atas urusan dan kehendakMu. Namun, sebagai anak yang pernah keluar dari rahimnya, aku kini bermohon padaMu. Sampaikanlah Ya Allah andai benar tindakan dan permintaanku. Ampunilah dia, lindungilah dia dan cucurilah rahmat ke atas rohnya. Takkan jemu aku mengingatinya sepertimana dia mengingatiku sewaktu hayatnya. Takkan jemu aku berdoa untuknya sepertimana dia berdoa untukku kala dia ada. Kasih dibalas sayang, sayang dibalas cinta..

Salam Ramadhan untuk semua..

Salam 165

Comments
  1. sya says:

    salam..

    ni kak anohini reporter ke? kalau ye ade org gunakan gambar akak utk menipu..

    akak pegi cari freekey… @ ke topik aduan & personal prob

    • zuraita says:

      okay tq so much sya.. akak dah settlekan benda ni. akak dh bagitahu pada moderator dan dah sound frekey dan afaf tu sekali. kalau afaf tu buat lagi sekali, akak tidak akan teragak2 untuk buat report polis. gile betul la.. adake gmbar akak digunanya. jatuh repo sbg isteri dan mak orang. bengang betul hari tu. anyway, thanks again sha..

Leave a comment