Salam Kasih Paling Abadi Untukmu, Emak..

Posted: November 25, 2009 in Uncategorized

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Redhailah aku Ya Allah..
Tabahkanlah hatiku Ya Allah..
Kukuhkanlah imanku Ya Allah..
Izinkanlah agar aku sentiasa berada pada jalan-Mu yang lurus Ya Allah..
Baik ketika aku hidup mahupun setelah aku mati Ya Allah..
Tiada lain yang aku harapkan melainkan redha-Mu Ya Allah
Amin Ya Rabbul Alamin

Satu ketika dahulu..

Aku dan emak memang rapat. Emak bagaikan sahabat karibku dunia akhirat. Semua tentang aku baik yang nyata mahupun yang terselindung ada dalam pengetahuannya. Mungkin disebabkan aku seorang sahaja anak perempuannya, membuatkan dia sangat memanjai aku. Kala gembira, pada emaklah ku tuju. Kala sedih, juga emak yang aku perlu. Perkongsian kami bukan setakat hal antara ibu dan anak, bahkan juga hal perasaanku. Siapa teman lelakiku waktu itu, siapa teman rapatku.. pendek kata semuanya dia tahu. Dari mula aku mengenal dunia, bersekolah, melanjutkan pelajaran dan bekerja, emak sentiasa menduduki takhta teratas senarai VIP dalam hidupku.

Sehinggalah aku ditemukan jodoh dengan suamiku, Reza Huzairi Zainudin, emaklah orang kuat yang merealisasikan segala-galanya. Dia nampak cukup gembira pada hari pernikahanku. Bahkan dia berusaha untuk memakai yang cantik-cantik dan terbaik pada hari itu untuk menggembirakanku. “Kalau emak pakai x cantik, nanti Ita merajuk”, itulah antara ayatnya yang aku rasakan lucu (waktu itu). Tapi, sekarang?

Itulah juga ayat yang dilafazkan sewaktu menghadiri majlis konvokesyenku. Pada adiknya dia berkata “Akak kena pakai lawa-lawa, Anum. Nanti Ita merajuk”.

Emak.. begitulah dia. Selalu memahami kehendakku. Selalu cuba menggembirakan aku.

Waktu aku mula-mula disahkan hamil anak kembar, emak gembira dalam gusar. Setiap hari dia memesanku dengan pelbagai nasihat. Jaga makan, kuatkan hati, jaga amal ibadat.. semua sekali. Kemudian apabila tiba saat aku melahirkan, emak tak tidur malam dan bersembahyang hajat untuk mendoakan keselamatanku. Matanya tak mahu lelap. Dia seakan ingin mengambil segala kesakitan itu dariku. Dan apabila cahayamata sulung dan keduaku lahir, emaklah orang yang paling banyak tersenyum. Itulah cucu pertama dan keduanya. Datang sekali dalam satu masa. Wajahnya nampak sangat puas. Masih aku ingat riak wajah emak waktu itu.

Disebabkan aku masih tak punyai pembantu, emaklah yang menjaga kedua-dua anak kembarku di kampung ketika aku mula hendak bekerja. Ketangkasan dan kelincahannya membuatkan dia tidak kisah mengendalikan dua bayi kecil sekaligus. Setiap hujung minggu aku pasti pulang ke kampung untuk melihat anak-anakku. Tetapi selalunya emaklah yang akan berjaga malam untuk anak-anakku. Aku? Hanya tahu ‘membuta’.
Indahnya aku rasakan apabila mempunyai ibu. Rasa bahagia yang tak terungkap.

Dari mula mengenal wujudnya ibu dalam hidupku sehinggalah usiaku menginjak ke 32 tahun ini, emak tetap VIP. Walaupun aku tahu balasan kasih yang aku berikan untuknya tidak mampu menyaingi kasihnya pada aku dan anak-anaknya yang lain, aku tetap cuba memberikan yang terbaik.

Pertengahan Tahun Ini

Dalam bulan Mei, emak mengadu tentang tubuhnya yang agak lemah. Gastriknya juga semakin menjadi-jadi. Memikirkan yang emak sangat jarang sakit apatah lagi diserang demam, aku merasakan hal itu biasa sahaja. Aku nasihatkan dia agar sering makan ubat. Apabila dia mengadu selera makannya semakin kurang, aku belikan bijirin, susu dan bermacam-macam lagi sebagai ganti kepada nasi. Anehnya, apabila aku pulang ke kampung untuk bulan berikutnya, makanan yang aku beli langsung tidak terusik.

Waktu ini, aku perasan tubuh emak semakin kurus. Apabila aku bertanya, dia kata itu mungkin ilusi aku. Tetapi dia tak menafikan yang dia membuat ekstra kerja untuk mengemas rumah. Aku melarangnya mengemas terlalu banyak. Tapi dia hanya tersenyum. Emak..emak.. hobinya itu memang aku tahu. Dia sangat suka menghias rumah. Sehari sampai berkali-kali dia mengemas rumah. Pendek kata, satu habukpun tiada kalau emak mengemas. Langsir, cadar, bunga-bungaannya semua terhias indah.

Emak Jatuh Sakit

Bulan berikutnya, aku perasan kelainan pada warna mata emak. Mata putihnya agak kekuningan. Aku memintanya merujuk kepada doktor. Selepas dia membuat ujian darah, doktor memberitahu terdapat masalah pada hati emak. Emak kemudiannnya memilih untuk ke Hospital Besar Melaka.

Hampir dia minggu didiagnosis, doktor memberitahu hati emak sudah tak boleh dirawat lagi. Bahkan komplikasi pada hati itu sebenarnya ialah punca daripada kanser. Yang lebih menyedihkan, kanser itu sendiri tidak tahu dari mana puncanya dan ia sudahpun berada di tahap 4. Masih aku ingat sewaktu emak menghubungiku untuk memaklumkan keadaan ini. Kata emak, doktor dah tak boleh tolong dah. Sumpah! Aku rasa hendak luruh jantung ini mendengar kata-kata emak. Cepat-cepat aku kuatkan semangatnya. Aku positifkan mindanya. Walaupun sebenarnya minda dan hati aku sendiri sangat berkecamuk dengan kebenaran ini.

Yang membuatkan semuanya tambah sayu ialah semua ini berlalu terlalu pantas. Dan ia berlaku sewaktu seluruh umat Islam sedang berpuasa. Kami adik beradik bersepakat membuat solat hajat dan membantu sedaya upaya.

Pada hari Raya Aidil Fitri baru-baru ini, bapa dan emak mertuaku datang bertandang ke rumah untuk bertemu emak dan ayah. Pada ayah, bapa mertuaku memberikan usul agar kes emak ini dirujuk ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Alhamdulilah ayah bersetuju dengan saranan itu.

Bermula dari hari Ahad bersamaan 27 September 2009, emak meninggalkan rumah untuk ke HUKM. Rupa-rupanya itulah tarikh akhir emak berada di rumah yang disayanginya. Lebih kurang sebulan lebih berulang alik dari HUKM ke Bangi (rumah angah), barulah emak dapat kembali semula ke rumahnya. Namun kembalinya emak kali ini bukan seperti biasa.

HUKM Juga Gagal Mengesan Punca

Lebih kurang dua minggu emak di HUKM, ternyata pakar-pakar mereka juga gagal mengesan punca kanser emak. Tetapi masalah lain pula timbul. Paru-paru emak telah dimasuki air. Akibatnya emak cepat penat kerana kekurangan oksigen. Banyak kali proses mengeluarkan air dari paru-paru dibuat. Ada yang di HUKM, di Bangi dan yang terakhir kali ialah di Hospital Besar Melaka.

Dalam pada berulang alik ke HUKM, emak tinggal di rumah angah. Sementara ayah pula berulang alik dari kampung ke Bangi. Waktu ini kesihatan emak sudah merosot. Dia tak mampu lagi bergerak banyak. Bahkan solatnya juga terpaksa dilakukan dalam keadaan duduk. Saban waktu emak lebih banyak berbaring di atas katil. Makannya juga seperti dipaksa-paksa. Menelan satu suapan nasi ibarat menelan bola api. Setiap minggu aku akan datang melihat emak. Pernah dia meminta aku menyediakan kurma daging. Kata emak, kurma daging yang aku masak sedap. Aku masak sepenuh jiwa. Rupa-rupanya itulah masakan terakhirku yang emak dapat rasa. Begitupun emak makan tak banyak. Sesenduk nasi pun hampir setengah jam untuk dia menghabiskannya.

Saban waktu, kami semua cuba menceriakan emak. Ayah, along, angah, aku dan lobai (adik bongsu) cuba memberikan yang terbaik pada emak. Tetapi emak bagaikan dah tahu yang dia akan pergi meninggalkan kami. Dia jarang berbual dan lebih banyak mendiamkan diri. Terasa berbeza sekali kelakuan emak ini berbanding dahulu. Emak yang aku kenal sangat peramah, periang, suka berbual, suka melawak dan pendek kata dialah pencetus suasana ceria. Tapi kali ini emak lain sangat..

Sebenarnya satu yang emak tidak tahu, doktor di HUKM sudah memberikan kami gambaran pasti tentang penyakitnya. Kata doktor, kanser emak dipanggil advanced cancer. Kondisi kanser itu juga sudah berada pada peringkat merbahaya. Doktor juga menganggarkan emak cuma ada masa enam bulan sahaja untuk hidup.

Memang kami faham dengan keterangan doktor. Namun pergantungan manusia itu hanyalah pada Allah bukannya dengan makhluk. Doktor sekadar menjalankan tugasnya dan kami menghormatinya. Namun keimanan kami tetap pada Allah. Tempoh enam bulan yang doktor berikan tidak kami hiraukan. Yang penting sekarang ialah usaha dan doa yang tidak berhenti.

Angah aku tak putus-putus mencari maklumat perubatan alternatif terbaik untuk membantu emak. Begitu juga dengan suamiku. Along dan lobai tak pernah gagal bertemu emak setiap minggu. Ayah pula sentiasa cuba menghiburkan dan mengikut segala kehendak emak saban waktu.

Satu hari, emak meminta untuk balik ke rumah adiknya di Tampin, Negeri Sembilan.
Adik emak yang aku panggil Pakdah ini sangat-sangat menyayangi emakku. Pernah satu malam sewaktu aku berbual dengan emak di telefon, aku terdengar suara emak menangis. Perbualan kami lebih kurang begini :

Emak : Pakdah baik sangat. (sambil menangis)
Aku : Kenapa mak?
Emak : Pakdah jaga emak baik sangat. Dia yang mandikan mak, sikatkan rambut mak, pakaikan bedak, ambilkan air sembahyang mak..
Aku : (menangis dalam hati). Memang Pakdah baik kan..
Emak : Angah pun baik. Dia jaga emak macam Pakdah

Pernah juga aku teringat perbualan ini. Kata-kata ini emak keluarkan ketika dia di hospital.

Emak : Emak cuma minta dua perkara saja waktu ini. Pergi Mekah tunaikan haji dan tengok lobai kahwin.
Aku : Kenapa mak cakap camtu. InsyaAllah, mak dapat buat semua tu.
Emak : (Diam)

Emak..emak.. ternyata rupa-rupanya emak seakan tahu yang masa emak hampir tiba. Kenapalah aku terlalu bodoh untuk memahami semua ini?

Perhujung Oktober 2009

Emak enggan lagi melayani panggilan telefonku. Kata emak, dia agak penat untuk bercakap dan berbual. Walaupun terlalu sedih, aku faham dengan keadaan emak. Bahkan Reza juga melarang aku daripada mengganggu istirehat emak. Sementara aku dan angah saling berbalas SMS untuk mendapatkan perkembangan terbaru. Waktu ini emak sudahpun dimasukkan ke Hospital Paliatif Melaka. Proses menyedut air dari paru-parunya sudahpun diberhentikan.

6 November 2009 – Sabtu

Aku, angah dan lobai sama-sama ke Hospital Paliatif Melaka untuk melihat emak. Sungguh aku akui, hatiku terlalu berdebar untuk melihat keadaan emak waktu ini. Seminggu tidak berbual dengannya membuatkan aku tiada gambaran pasti tentang keadaan emak.

Kami sampai di hospital lebih kurang jam 3 petang. Sebaik turun dari kereta, aku berzikir dan menyerahkan segala-galanya pada Allah. Sampai sahaja di wad emak, aku terhenti di muka pintu. Lutut aku terasa begitu lemah. Kalau aku tak kuat, pasti aku rebah di situ juga. Itukah emak aku? Ya Allah…. Kasihannya emak. Tubuhnya terlalu lemah. Dia sedang tidur ketika tiga orang anaknya ini sampai. Along yang sudah sampai terlebih dahulu sedang menunaikan solat Zohor di tepi katil emak waktu itu. Dada emak turun naik begitu perlahan. Seakan seksa untuk emak menarik dan menghela nafas. Tak lama kemudian, emak membuka mata. Namun pandangannya kepada kami seakan satu pandangan yang kosong.

Kami bertiga menyalami emak penuh kasih. Tidak banyak yang kami bualkan. Dia kemudiannya memilih untuk tidur semula. Begitu jelas emakku sedang menanggung letih yang teramat sangat. Dengan tenaga yang kurang, selera makan yang hilang.. pastilah tubuhnya tidak mampu menanggung semua itu.

Selama kami berada di sisi emak hari itu, tidak sekalipun kami berbual. Emak cuma bercakap yang perlu-perlu sahaja. Antaranya dia ingin minum susu, ingin duduk, ingin tidur dan ya.. itu sahaja.

Selepas solat Isya’, emak meminta kami berempat untuk pulang. Along enggan dan katanya dia ingin tunggu lagi. Angahku juga agak keberatan untuk pulang. Begitu juga dengan aku dan adikku. Tetapi emak memberitahu yang dia ingin tidur dan mahu kami pulang segera. Tambahan pula kata emak, rumah kami agak jauh antara satu sama lain. Sedihnya aku dengan emak.. dalam pada sakit-sakit ini, dia masih lagi ada ruang untuk memikirkan tentang keadaan kami.

Yang paling menyedihkan aku, angah dan adikku menyalami dan mengucup pipi dan dahi emak sampai dua kali. Angah dan adikku sempat merenung wajah emak yang terbaring sambil tangan mereka mengusap lembut ubun-ubun emak. Aku tak sanggup lagi melihatnya. Ketika tiba giliran aku menyalami tangan kurus emak, aku rasakan tangan itu sangat berbeza daripada dahulu. Tangan itu terlalu kaku. Berbeza dengan tangan emak dahulu yang putih dan berisi. Ketika aku mencium pipi dan dahi emak, sebenarnya tangisan sudah terlalu lebat di dalam hatiku. Emak tidak dapat memberikan reaksi. Ketika kami bergerak ingin pulang, emak tidak menutup matanya. Tidak juga memandang kami. Sebaliknya mata emak hanya merenung siling. Aku sempat tanyakan sama ada emak merasa sakit, namun dia tidak menjawab pertanyaanku. Rupa-rupanya itulah kali terakhir kami bertemu. Emak bagaikan ingin melindungi kesedihannya cuma dia tidak mampu untuk menerangkannya kepada kami.

9 November 2009 – Isnin

Aku bekerja seperti biasa. Lebih kurang jam 12.57 tengahari aku mendapat mesej dari angah yang berbunyi begini :

“Salam ta, td call ayah. Dio kata omak makin lomah, tanah mkn & minum. Tp boleh lg gerak angkat kaki. Ayah mintak dr masukkan air pakai drip untuk gantikan makanan. Tp dr blom buat lg. Kito teruskan doa pd Allah Taala. InsyaAllah.”

Aku sudah mulai gelisah. Kebetulan aku di luar waktu itu dan terus pulang ke rumah selepas urusan selesai.

Jam 3.57 petang, sekali lagi mesej angah sampai dengan pesanan yang sedikit menakutkan seperti ini :

“Salam, ayah tepon tadi, omak dah taknak cakap tanak apo2 dah. Mungkin dah tak terdayo. Nurse tu posan suruhlah anak2 dtg.”

Jantungku bagai nak pecah. Aku terus menghubungi Reza dan memberitahu ingin pulang. Reza memintaku menyediakan pakaian segera sementara dia hendak meminta kebenaran keluar awal dari ketuanya. Selepas selesai, aku pun mandi dan bersiap untuk menunaikan solat Asar. Sebaik sahaja keluar dari bilik mandi, aku perasan ada satu mesej Angah yang baru sampai.

Aku terus membukanya.

Ternyata mesej itu cukup ringkas. Cukup pendek. Tetapi ia sangat-sangat merentap seluruh jantung dan pancainderaku.

“Omak dah poi dah”

Innalilahiwainnailaihirajiun… bibirku terus menuturkan ayat ini. Ya Allah, aku redha dengan ketentuan-Mu ini Ya Allah. Dari-Mu kami datang dan kepada-Mu jugalah tempat kembali kami. Semoga emakku mendapat Khusnol Khatimah. Peliharailah roh emakku Ya Allah. Redhailah dia.

Dalam fikiran, wajah emak berbalam-balam mendatangi mindaku. Begitu hebat begitu dahsyat. Aku terus duduk di birai katil dan memandang ke luar tingkap. Hujan mengiringi pemergian emak waktu itu. Air mataku begitu laju, sama lajunya dengan air hujan yang turun petang itu.

“Mak, maafkan Ombong mak. Maafkan Ombong sebab Ombong tak ada saat emak pergi. Maafkan Ombong kalau sepanjang emak sakit ini Ombong tak dapat berikan perhatian yang cukup eksklusif untuk mak. Maafkan Ombong. Ampunkan semua kesalahan Ombong, mak. Baik yang besar mahupun yang kecil. Ampunkan Ombong dunia akhirat. Mak..halalkanlah makan, minum, perhatian, kasih sayang dan semua sekali yang telah mak bagi kat Ombong sepanjang mak hidup, mak. Halalkan semua sekali baik yang kecil mahupun yang besar, mak. Halalkan untuk Ombong dunia akhirat, mak..”

Al-Fatihah.

Itulah harapan yang aku ungkapkan di tepi pusara emak, sehari selepas dia disemadikan. Bagaikan mengerti, keadaan di tanah perkuburan waktu itu cukup hening dan cukup sunyi. Aku luahkan semuanya di tepi pusara emak. Air mata gugur bertali arus bagaikan empangan yang sedang pecah. Zizry yang setia menemani di sisiku juga diam tak terkata.

Emak, satu-satunya anak perempuan emak ini ingin mengakui.. perginya emak sebenarnya telah membawa seluruh semangat ini. Rasa ingin rebah dan tak mampu untuk berdiri lagi. Namun syukurlah aku mempunyai suami, anak-anak, ayah, abang-abang, adik dan keluarga yang sangat menyayangi aku. Syukurlah ibu-ibu saudara aku juga masih ada untuk mencurahkan kasih mereka kepada kami. Syukur juga kerana aku mempunyai sahabat-sahabat yang terlalu memahami.

Apa-apapun, emak tetapi VIP. Emak tetap abadi. Aku berdoa agar aku akan bertemu sekali lagi dengan emak. Tak mahu di tempat lain… aku hanya mahu bertemu emakku di syurga. InsyaALLAH. Moga kami diredhai dan moga JANNAH lah tempat akhir kami. InsyaALLAH. Percayalah, andai saat itu tiba, aku hendak peluk emak seerat-eratnya…

Ingatan abadi buat allahyarhamah emakku,
RAHINA MANSOR (9 April 1954 – 9 November 2009)
Salam kasih tulus suci untukmu..
Al-Fatihah

Leave a comment