kisah anak-anak

Posted: October 23, 2009 in Uncategorized

Baru je aku bukak pintu lepas balik kerja semalam, tiba-tiba adik peluk aku. Muka dia macam bersalah. Aku dah terdetik, ni mesti ada sesuatu. Belum sempat aku bertanya, Ziqry dah mengadu.

Ziqry : Mama, adik cucuk mata kawan!

Aku : Haa?? cucuk dengan apa?

Ziqry : Dengan pensil. Kawan perempuan. Cikgu marah adik.

Aku : Kenapa adik cucuk mata kawan? (nada marah)

Adik : (Diam sambil muka nak menangis)

Aku : Dia buat apa kat adik sampai adik nak cucuk mata dia?

Adik : (Diam lagi)

Aku : Mama taknak cakap apa-apa. Nanti mama bagitahu ba.

Adik : (Menangis) Janganlah mama. Adik taknak mama cakap camtu.

Aku terus diam sambil membebel serba sedikit. Aku tahu, kalau aku marah, dia akan menangis dan suruh aku pujuk dia. Maklumlah, dia tu manja sangat dengan aku. Tapi dengan Reza, dia takut sikit. Sambil membebel aku ke dapur untuk masak. Dia ikut aku dari belakang. Ziqry pun sama.

Aku : Adik tahu tak, kalau adik buat macam tu, polis boleh tangkap adik tau. Polis boleh masukkan adik dalam penjara. Nanti tak dapat jumpa ba, mama, abang dan jil. Takut tak?

Yang kelakarnya, tiba-tiba Ziqry menyampuk.

Ziqry : Nanti polis hukum adik. Polis rotan adik. Polis yang suapkan adik makan. Polis pon nanti x bagi adik makan. (Kat sini aku dah tergelak sket tapi aku cover). Polis tu nanti kurung adik dalam penjara tau tak? (sambil mencekakkan pinggangnya)

Adik terus menangis sampai muntah. Time tu aku tengah kupas bawang. Jil pulak dok sibuk baling mangkuk plastik kat serata dapur.

Aku : Ha, biar dia muntah kat situ. Biar dia bersihkan sendiri.

Ziqry : (berdiri dan cekak pinggang) Kenapa adik muntah ni. Eeiii.. geli..geli..

Aku diam seribu bahasa. Adik terus menangis. Beberapa minit lepas tu, Ziqry berbisik pada aku.

Ziqry : Mama, tak boleh ke abang nak bersihkan muntah adik tu?

Aku : Abang boleh ke? Tak geli?

Ziqry : Tak, tu adik abang. Abang tak geli muntah dia.

Aku : Ha, pergilah. Amik kain ni.

Meluru anak sulung aku ambil kain dan mengelap muntah Zizry. Tersentuh hati aku. Sedih sangat. Sambil membebel, dia terus mengelapkan muntah adiknya. Adiknya pula bila tengok abangnya membantu dia, terus terdiam tiba-tiba.

Tak lama kemudian, Reza pun balik. Biasalah, lepas kene marah, tangan pun kene rotan. Sebagai hukuman, Reza tak bagi Zizry main games. Nak tergelak juga aku dgn hukuman bapa zaman sekarang. Sambil menangis, dia janji tak mahu buat lagi. Bukan apa, risau jugak dengan tindakannya itu. Buatnya dibawa-bawa sampai besar, susah kami nanti. Kata orang dari kecil inilah nak mendidik dia. Kalau buat salah, harus ada hukuman setimpal agar dia sedar dan belajar dari kesilapan. Kalau dia buat benda baik, harus ada ganjaran.

Mencabar sebenarnya jadi ibu bapa ni. Waktu-waktu macamni, barulah sedar susah rupanya emak dan ayah nak membesarkan diri aku ni. Kalau dulu emak marah, aku anggap emak tak sayang aku. Kalau ayah terlalu mengawal, aku anggap ayah tak sporting. Apa sahaja yang mereka buat aku selalu pandang dari sudut negatif. Rupa-rupanya dengan cara itulah aku dapat jadi ‘orang’. Walaupun aku tidak begitu sukses dalam akademik macam abang2 dan adik aku (maklumlah aku ni kuat berangan), alhamdulilah aku masih boleh membina karier dan keluarga seperti mana yang diizinkan-NYA.  Aku masih boleh masuk universiti, masih boleh memilih bidang yang aku gemari dan menceburi kerjaya yang sangat aku sukai. Agak2nya kalau aku belajar betul2 dulu, kerusi Najib Tun Razak tu sure aku punye hari ni. He he.. propa je lebih aku ni.

Buat anak-anakku, mencabar dan sesukar manapun membimbing kalian, tidak akan sekali-kali kami berputus asa. Sehingga ke hembusan nafas terakhir pun, akan kami cuba membentuk kalian menjadi hamba Allah yang benar-benar bertaqwa dan kaya dengan iman dan amal. Biar miskin harta dunia, asal kaya ‘harta akhirat’. Dunia ini palsu sayangku, akhirat itu pasti. Imbangkan dunia dan akhirat dengan bijak dan sempurna, InsyaALLAH kalian akan sentiasa selamat.  Moga kenakalanmu terhenti sebaik kalian sudah tahu membezakan antara benar dan salah dan antara dosa dan pahala. InsyaALLAH.

Leave a comment