9 April

Posted: April 9, 2010 in Uncategorized

9 April..

Tarikh ini takkan aku lupakan sampai bila-bila. Hari ini adalah hari ulangtahun seseorang yang sangat istimewa di hatiku. Walaupun orang itu sudah tak ku temui lagi di dunia ini, bahang kasih dan sayangnya padaku tetap membara.

Andai tika ini emak masih hidup, genaplah usianya 56 tahun hari ini. Pagi-pagi lagi, aku menerima sms dari Along mengingatkan tentang tarikh ini. Dia meminta kami adik-adiknya agar tak putus-putus mendoakan emak dan menghadiahkan pahala Al-Fatihah untuk rohnya. Along, mana mungkin Ita terlupakan tarikh ini…

Masih aku ingat kali pertama aku dan adik berpakat hendak memberi kad hari jadi untuk emak. Waktu itu aku berusia 15 tahun manakala adik aku pula baru berusia 7 tahun.  8 April, balik sahaja dari sekolah, aku singgah sebentar di kedai Cina berhampiran untuk membelikan kad untuk emak. Puas aku memilih kerana kebanyakan kad adalah untuk kekasih sahaja. Belek punya belek, akhirnya aku terjumpa satu kad yang ditulis Istimewa Untuk Bonda. Belasah ajelah asalkan sesuai. Sampai saja di rumah, aku tuliskan kata-kata paling puitis untuk emak. Kemudian aku paksa adikku menulis. Alhamdulilah, dia yang sudah boleh membaca sejak berusia 4 tahun lagi mampu melakarkan kata-kata indah untuk emak. Nak tergelak pun ada bila aku tengok tulisannya. Walaupun ucapannya simple, tapi tulisannya buruk sangat-sangat!  Biarlah asalkan emak tahu ini ikhlas dari anak-anaknya. Along dan angah tak turut serta kerana kedua-dua mereka bersekolah di asrama penuh dan tidak tinggal bersama kami.

Keesokannya harinya, kami berdua dah gelabah. Macammana nak bagi kad ni kat emak? Takkan nak bagi terus je? Rosaklah program. Ingat nak letak atas katil, tapi macam x seronok pulak. Bincang punya bincang, akhirnya aku dan adik letakkan kad itu atas dapur gas. Logik tak? Kami fikir, selepas kami ke sekolah, tentu dapur adalah lokasi pertama yang emak tuju.

Di sekolah, aku berdebar membayangkan reaksi emak. Adik aku pulak, aku tak pasti. Budak umur 7 tahun, reti ke dia nak membayang2kan ni.. paling-paling mesti tengah syok main kejar-kejar dengan kawan dia tu. Balik sekolah, aku tengok emak masak sedap-sedap sangat. Tapi aku segan nak tanya pasal kad tu. Adik aku pulak selamba je. So aku diamkan saja.

Petangnya, aku keluar untuk berjumpa dengan kawan baikku, Rosemawati atau lebih mudah dipanggil Ati. Rumahnya selang beberapa buah rumah sahaja dari rumahku. Sampai-sampai sahaja, aku tengok muka Ati ceria semacam.

Ati : Woi, ta! Kau bagi kad kek omak kau yeh?

Aku : Mano kau tahu?

Ati : Pagi tadi, omak kau datang umah den. Dia suko sangat sobab kau dan Lobai (adikku) bagi kad besday. Dia suko sampai menangis! Dia suruh omak den baca. Dia nampak happy sangat.

Aku : Yo ko? Tapi tadi omak den selambo yo tak cakap apo-apo pun?

Ati : Malu kot?

Ye, mungkin emak malu atau lebih tepat, emak terharu. Maklumlah, selama ini tak pernah sekalipun aku mengucapkan salam hari jadi untuknya. Bermula dari hari itu, setiap tahun pasti aku akan memberikan kad untuk emak. Dari sekolah menengah, masuk pula ke universiti sampailah memasuki alam pekerjaan hatta sampai dah beranak pinak ni pun, kad untuk emak pasti aku tak lupakan.

Tapi aku tak pernah membelikan hadiah untuknya pada hari jadi ini. Aku lebih suka memberikan hadiah padanya ikut suka hati aku je. Kalau aku teragak nak bagi, aku bagi. Biasanya aku suka membelikan dia barangan hiasan rumah ataupun aksesori.

Kini tarikh 9 April hanya tinggal kenangan. Rasanya antara tarikh ini, aku lebih banyak memikirkan tarikh 9 November kerana pada tarikh inilah emak dijemput pulang oleh Penciptanya. Kini, sudah lebih lima bulan emak pergi meninggalkan kami. Tapi, aku rasa emak masih hidup di hati kami. Tak pernah langsung rasa jauh.

Adikku pun dah besar sekarang. 15 April nanti, genaplah usianya 25 tahun.  Walaupun begitu, kenangan aku bersamanya waktu kami masih kecil tetap kukuh terpahat di ingatan. Sewaktu dia berusia antara 4 hingga 6 tahun, aku kerapkan memakaikan baju kurung dan tudung emak pada adik. Kadangkala aku memakaikan inai di jari-jarinya. Dia diam menurut sahaja. Waktu itu aku sangat mendambakan adik perempuan. Oleh sebab aku tak punya adik perempuan, adik lelakiku ini yang ku jadikan mangsa. Namun apabila emak menasihati aku yang perbuatan aku ini tidak elok, barulah aku berhenti ‘mendera’ adikku.

Mak, Ita doakan emak berbahagia di sana. Nantikanlah perjumpaan kita sekeluarga nanti. Moga Allah memberikan peluang itu pada kita. InsyaAllah. Sebagai memenuhi janji pada Allah dan juga pada emak, Ita akan terus berusaha menjadi hamba Allah yang taat, isteri yang baik, mama yang penyayang, anak yang solehah, adik dan kakak yang memahami, kawan yang menyenangkan, pekerja yang ikhlas, jiran yang membahagiakan dan sebagai manusia yang bererti. InsyaAllah.

* Kalau masih ingat, aku pernah menulis tentang kisah adik Haninah Safia Azman yang sedang menunggu penderma hati. Bulan lepas, adik comel ini telahpun pulang ke rahmatullah. Walaupun sedih sebaik menerima khabar ini dari mamanya, aku yakin dia sedang bahagia dan tenang di sana. Anak kecil seperti ini, tentulah syurga menjadi destinasi pasti. Al-Fatihah untuk Safia dan juga untuk emakku..

Leave a comment