Moga Safia Bertemu Dengan Penderma Hatinya..

Posted: January 5, 2010 in Uncategorized

12.34 tghr – Baru setengah jam aku sampai di ofis. Sampai setelah aku melunaskan fardhu kifayahku untuk membantu saudara seagama denganku. Sampai setelah aku diberi ‘tunjuk ajar’ secara langsung oleh Allah SWT betapa kita ini hamba kecil yang tidak berdaya, hanya untukNya kita berusaha, hanya padaNya kita berdoa dan meminta.

Susah nampaknya penjelasanku itu, kan? Hehe.. okaylah aku ringkaskan sedikit. Sebenarnya aku baru pulang untuk tugasan PENGALAMANKU. Sememangnya inilah ruangan yang paling aku sayang dalam majalah RAPI ni. Inilah antara peluangku untuk belajar tentang hakikat sebenar kehidupan.

Sebentar tadi aku bertemu dengan adik comel, Haninah Safia yang bakal mencecah usia 2 tahun pada bulan hadapan. Walaupun sudah mencapai usia kanak-kanak, fizikal dan peribadi Safia tak ubah seperti bayi. Perkembangannya sedikit terganggu berikutan dia menderitai penyakit Biliary Aterisia atau bengkak hati. (Melihat keadaan Safia tadi, serta merta teringatkan arwah emak. Kes mereka hampir sama).

Safia hanya seberat 9 kg. Tubuhnya kurus dan perutnya buncit. Mata hitamnya bulat tetapi mata putihnya berwarna kuning. Ketika aku sampai, dia begitu comel mengenakan gaun polka dot warna merah jambu. Rambutnya disisir rapi. Rehatnya bertemankan boneka-boneka kecil. Mamanya, Noor Suehaila begitu setia menemaninya di sisi.

Ketika aku sampai, Safia hairan memerhatikan aku. Alhamdulilah dia tidak menangis kerana menurut mamanya, Safia akan menangis kalau bertemu dengan orang yang tidak dikenalinya. Aku membelai rambutnya. Aku usap keningnya. Dia tidak menangis tetapi dia kelihatan hairan. Mungkin juga menahan takut. Dia hanya terbaring dan tampak agak lemah.

Aku terus berbual dengan emaknya perihal Safia. Masih aku ingat ayatnya, “Saya akan terus berikan yang terbaik untuk Safia. Saya rela berkorban untuknya,”. Demikianlah ayat sang ibu, tulus ikhlasnya begitu jelas, tidak perlu ditunjuk-tunjuk. Semasa kami berbual, sesekali Safia mengeluarkan suaranya. Lagaknya tak ubah seperti hendak menegur mamanya. Kata Sue, mungkin dia hairan melihat mamanya bercakap banyak sedikit hari itu. Mungkin kerana perbualan kami yang agak lama, Safia akhirnya tertidur.

Sebenarnya, jauh di lubuk hati, aku menahan tangis yang bukan kepalang. Kejam sekali aku rasa jika aku menangis di hadapan mama Safia. Syukurlah Allah mengurniakan ketabahan hati yang sangat hebat untuk Sue. Wajahnya memaparkan keyakinan, suaranya menggambarkan ketabahan. Anugerah siapa semua itu kalau bukan anugerah-Nya? DIA beri satu ujian tetapi dalam masa yang sama, DIA tambah dengan dua pemberian. Apapun, pemberian itu usah bayangkan yang bersifat material sahaja.

Dalam kes mama Safia, Allah uji dirinya dengan mengurniakan seorang anak yang sakit. Tetapi dalam masa yang sama, Allah kurniakan pula ketaqwaan, keimananan yang mantap dan ketabahan hati yang bukan kepalang. Tak cukupkah lagi? Alangkah malunya jika kita merintih sana sini tanpa mahu melihat yang ‘tersembunyi’.

Buat masa ini, hanya rawatan organ transplant sahaja yang paling sesuai untuk Safia. Malang sedikit, Safia harus menunggu lebih lama kerana senarai pesakit-pesakit seumpamanya juga sudah terlalu ramai. Lebih menyedihkan, tidak ramai orang yang sudi tampil sebagai penderma hati. Paling menyentuh hatiku, Sue memberitahu yang doktor hanya menganggarkan tempoh hayat Safia sehingga usia 2 tahun sahaja. Tetapi Sue tidak nampak sedih. Dia nampak kuat dan yakin. Dia terbukti lebih mempercayai Allah daripada ramalan doktor. Tak apalah Sue kerana Allah Maha Tahu.

Sempat Sue merayu kepada orang-orang yang sihat di luar sana. Kalau mereka berkemampuan dan ikhlas, dermakanlah hati bagi mereka yang memerlukannya. Waktu aku hendak menulis luahan hati Sue inipun, tanganku bergetar sendiri. Itu mereka. Tetapi bagaimana dengan aku? Mampukah aku?

Rasa berat hatiku ketika ingin pulang meninggalkan Sue dan Safia. Tak tahu bilakah hendak berjumpa lagi. Berulang kali aku mengusap rambut Safia. Hati begitu ingin mendakapnya tetapi wayar dan tiub yang terlalu banyak pada tubuh Safia menghalang hasratku. Puas aku gagahkan akhirnya gugur juga air mataku di hadapan mereka.

Safia, auntie doakan agar Safia akan bertemu dengan penderma hati yang paling sesuai untuk Safia. Auntie doakan agar Safia akan kembali sembuh dan pulih seperti kanak-kanak seusiamu. Tabahlah Safia agar kau boleh mengukirkan kembali senyuman di bibir mama, ayah dan kakakmu. Apapun terjadi, letakkan Allah SWT di hadapan sekali.

Leave a comment