Kala diri ditimpa ujian, usahlah meminta pada-NYA untuk diringankan ujian itu. Tetapi pohonlah agar iman dan semangat kita terus kental, luas dan kuat untuk mengatasi dan mengharunginya. Pohonlah agar kita sentiasa berpegang pada tali (agama) ALLAH tidak kira bagaimana besarpun ujian yang sedang menimpa kita.

Sesungguhnya ujian-ujian ALLAH adalah tanda bahawa DIA sayang kepada kita. Belum terbukti keimanan kita jika hidup tidak diuji. Formula 4S iaitu susah=sabar dan senang=syukur harus sentiasa kita pegang. Inilah yang membantu kita terus kuat dan berdiri walaupun jalan yang kita lalui lebih tajam dari duri, lebih panas dari api. Semakin besar ujian, semakin tebal keimanan kita pada-NYA.

InsyaALLAH, itulah misi kita. Ataupun visi? He he.. terlupa pulak maklumlah dah berbulan juga aku tinggalkan MCB. Masih tunggu masa nak recharge. Terkilan juga sebab waktu Reza sertai MCB minggu lepas, aku tak dapat recharge bersama. Maklumlah, 3 hero di rumah tu sangat memerlukan aku.

Tak dinafikan, hidup kita di dunia ini saban hari diuji. Ujian datang dalam pelbagai bentuk dan rupa. Sebagai hamba-NYA, kita perlu sabar dan redha dengan setiap apa yang telah ditentukan kepada kita. Dalam masa yang sama, kita harus berusaha dan berdoa agar kita kuat mengatasi setiap ujian yang datang. Kalau perlu menangis, menangislah. Tetapi usah sekali-kali membelakangkan ALLAH. Usah sekali-kali berputus asa dengan rahmat-NYA.

Sesayang manapun kita terhadap seseorang tidak kira suami, anak, ibu mahupun ayah, harus kita akui ALLAH lebih berhak kepada mereka kerana ALLAH yang mencipta dan meminjamkan mereka kepada kita. Sesayang manapun kita terhadap sesuatu tidak kira rumah, wang, kereta mahupun harta, harus kita sedar bahawa semuanya adalah palsu semata-mata. Janganlah menyintai dunia kerana nafsu. Sebaliknya cintailah dunia kerana ALLAH. Cintailah suami kerana ALLAH. Cintailah anak kerana ALLAH. Cintailah ibu dan ayah kerana ALLAH. Bekerjalah mengumpul harta kerana ALLAH. Berusahalah meningkatkan taraf hidup kerana ALLAH. Belajarlah menimba ilmu kerana ALLAH. InsyaALLAH kita akan sentiasa berada di lorong yang betul.

Masih belum terlewat untuk mengucapkan Salam Aidil Fitri kepada semua. Maaf jika sepanjang saya menulis di sini, ada perkataan mahupun perbuatan saya yang mengguris hati. Assalammualaikum. Alhamdulilah.

Horoskop Rosakkan Akidah

Posted: August 17, 2009 in Uncategorized

Bacalah SOLUSI isu #10 (yg terbaru), antara artikel menarik tulisan Ustaz Mohd Nidzam Abd Kadir yang bertajuk Horoskop dan Kaitannya Dengan Akidah. Bacalah artikel ini. Jangan pernah mengatakan anda membaca horoskop kerana suka-suka kerana tanpa diawasi oleh kemantapan ilmu akidah, sudahnya akidah anda sendiri tidak mustahil akan tergelincir. Horoskop = tukang tilik. Ketahuilah, apa sahaja perkara yang membawa kepada rosaknya akidah adalah salah. Astaghfirullah.

Perkara yang perlu ditegaskan di sini, tiada satupun kebenaran yang diiktiraf dalam Islam bagi amalan tilikan. Ini termasuklah dalam bab horoskop. Oleh itu sebagai umat Islam, wajib bagi kita memerangi setiap amalan khurafat yang jelas membawa kepada syirik ini.

Memanglah kita tidak berjumpa tukang tilik, tetapi kesukaan membaca horoskop sama sahaja keadaannya. Ia wajar disanggah. Apatah lagi sehingga terdetik di hati kita ayat begini setelah membaca ramalan horoskop.. “haah, betullah kata horoskop ni.. ” kalau itu yang terjadi, istighfarlah segera.

Bagi anda yang memang dari dulu memerangi terus horoskop ini, tahniah diucapkan. Namun, bantulah rakan-rakan yang masih ‘buta’ dalam menilai kebenaran ini. Allahu Akbar!

Jill Peminat No 1 Marjan

Posted: August 17, 2009 in Uncategorized

Jill anak bongsu ku itu sungguh-sungguh menggemari kumpulan nasyid Marjan. Kalau dia terlalu aktif dan tak terkawal oleh kami, pasangkan sahaja CD itu, senyaplah dia. Lagu Damai Bersamamu dan Demi Matahari adalah antara lagu favouritenya.  Dia akan diam sambil mengangkatkan tangannya seperti orang sedang melaungkan azan. Reza membayangkan untuk menghantar Jill ke sekolah pondok manakala aku pula berharap agar Jill dapat dihantar ke sekolah tahfiz dan melanjutkan pelajaran ke Mesir.  InsyaAllah, mudah-mudahan Allah Taala melorongkan kami ke jalan itu.

Sebentar tadi, anak-anak kembarku, Ziqry dan Zizry sudahpun mengikuti Tok dan Wan mereka balik ke Jitra, Kedah. Mereka akan bersekolah lebih kurang sebulan lagi di sana sebelum bersekolah di sini. Aku bercuti hari ini kerana ingin menghantar mereka balik. Abang menarik tanganku meminta agar aku melambainya sehingga ke pintu pagar. Adik pula tak habis-habis memelukku. Demikianlah keletahnya anak-anakku.

Sewaktu melihat mereka sedang tidur, hati kecilku sering berbisik. Moga Allah SWT sentiasa meredhai dan melindungi anak-anakku ini. Janganlah hendaknya hati mereka terpesong dan moga mereka menjadi hamba-Nya yang sungguh-sungguh bertaqwa. Sesayang manapun aku kepada mereka, Allah lebih menyayangi mereka. Jadi pada Allah sahajalah tempat aku memohon keredhaan dan kejayaan untuk anak-anak ini.

Melihat mereka semakin membesar hari demi hari, aku telah membayangkan di fikiran bahawa merekalah antara khalifah yang akan memakmurkan agama-Mu di muka bumi ini. Merekalah antara pejuang-Mu yang tidak akan jemu-jemu menyemarakkan rasa cinta yang tulus ikhlas terhadap-Mu. Dan moga dengan ketaqwaan mereka, ianya mampu menyambung perjuangan kami, iaitu ibu dan ayahnya dalam bertemu-Mu.  InsyaALLAH.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, kurniakanlah sifat Penyayang-Mu, sifat Pemurah-Mu dan asma-Mu pada kami. Moga ia menjadi penerang jalan kami.

” Ya Allah, jadikan aku daripada kalangan orang-orang yang banyak bertaubat dan jadikan aku dari kalangan orang-orang yang menyucikan diri ” – hadis riwayat Imam a-Tirmidzi.

Ziqry : Abang ni tak pandai-pandailah mama!

Aku    : Kenapa abang cakap macam tu?

Ziqry : Yelah, abang ni ABC, 123, 1+2 sama dengan 3 pun abang tak tahu

Aku    : (ketawa) Eh, tu dah tahu tu

Ziqry : Yelah tapi tak banyak.

Aku    : Sabarlah sayang. Abang kan kecik lagi. Nanti lama-lama abang pandailah

 

Ziqry : Mama, kalau abang sekolah dekat mama ni, kawan-kawan lama dan cikgu lama abang tak ada lagilah?

Aku : Hmm, yelah

Ziqry : Abang ada kawan baru dan cikgu barulah ye mama?

Aku : Haah, abang suka tak?

Ziqry : Suka!

 

Ziqry : Ba, jangan lupa beli katil dua tingkat untuk abang ye!

Reza : Abang nak katil dua tingkat ke katil kereta?

Ziqry : Abang nak katil dua tingkat.

Reza : Bahayalah abang. Abang tak biasa tidur sendiri. Nanti jatuh macammana?

Ziqry : Alah…

 

Ziqry, permata hati sulung kami dah tak sabar-sabar nak kembali duduk dengan kami. Setahun yang lalu, kami sekolahkan dia dan adiknya di Kedah. Penghujung tahun ini, kami akan membawa mereka balik ke sini. Sehari sampai lima kali anak sulung itu menelefon Reza yang dipanggil sebagai Ba. Kata Reza, Ziqry terlalu rindu dengan kami.

Moga Allah membantu kami memberikan ilmu yang cukup untuk anak-anak ini. Moga Allah membantu kami agar membimbing anak-anak ini ke jalan-Nya. Moga Kau memudahkan urusan kami untuk menyemai rasa cinta mereka pada-Mu dan juga pada rasul-Mu, Ya Allah. Moga Allah membantu kami mampu melakarkan yang indah-indah di sepanjang perjalanan hidup mereka agar ia berguna dijadikan bekal di akhirat kelak. Moga ketiga-tiga anak kami, Ziqry Huzairy, Zizry Huzairy dan Zilfizzry Huzairi menjadi anak-anak yang soleh, beriman dan berjaya dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.

Buat abang, adik dan Jill, mama dan Ba sayang kamu. Moga kami menjadi ibu bapa yang adil untukmu. Amin.

Ambil Peduli Semua Perkara

Posted: August 10, 2009 in Uncategorized

Malam tadi kira-kira jam 10.02 malam, aku menerima panggilan telefon daripada kak Jamilah. Kakak yang lebih mesra digelar Kak Milah ini pernah mengurutku sewaktu aku berpantang tak lama dulu.  Orangnya peramah dan sangat lucu. Tiga jam dia mengurutku umpama 30 minit sahaja. Memang dia pandai mengambil hati.

Malang sekali, aku tidak sempat menjawab panggilan itu. Aku hanya perasaan panggilannya itu sewaktu jam sudah menunjuk ke angka 11 malam. Bimbang mengganggu, aku tidak pula menghubunginya kembali. Mungkin Kak Milah ingin bertanya hal yang tidak penting. Aku bercadang untuk menghubunginya esok pagi.

Pagi ini, ketika ingin bersiap-siap ke tempat kerja, telefonku berbunyi lagi. Nama Kak Milah sekali lagi tertera di skrin. Aku memberikan salam dan memanggil namanya dengan ceria sekali. Malangnya hanya esakan tangis yang aku dengar di hujung talian. Aku cemas tiba-tiba. Dalam sendunya yang tidak berhenti, dia memberitahu suaminya yang juga rakan sekerjaku telah dipanggil pulang menghadap Allah SWT. Malam semalam lebih kurang jam lapan, Allahyarham Anuar Johari (suami Kak Milah) telah menghembuskan nafas terakhir dipercayai akibat komplikasi jantung. Aku cuba menguatkan semangatnya. Dalam masa yang sama, aku mengutuk diriku kerana tidak menelefon terus Kak Milah malam tadi.

Benarlah aku ini suka mengambil remeh kebanyakan perkara. Walhal isteri malang ini cuba menyampaikan kisah dukanya pada aku. Dan aku membiarkan panggilannya tidak dibalas sepanjang malam. Terasa kejamnya diri ini.  Yang paling menyedihkan, dia memberitahu tidak tahu untuk menghubungi sesiapa dari tempat kerjaku untuk memaklumkan hal ini. Melainkan aku. Ya Allah, ampunilah aku kerana sering bersikap tidak peduli dalam kebanyakan hal.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang beriman. Semoga Kak Milah tabah dengan dugaan ini berserta anak-anaknya.

Ampunilah aku, Ya Allah. Bantulah aku agar bersikap lebih adil dalam semua perkara.

Jalan Lurus

Posted: July 31, 2009 in Uncategorized

Kita sering memohon pada Allah agar Dia mengurniakan jalan yang lurus untuk kita. Dalam sehari, kita mengulang-ngulang permintaan ini sewaktu bibir menuturkan surah Al-Fatihah. Bahkan dalam doa harian juga, inilah yang selalu kita kemukakan. Persoalannya, sebaik Allah membuka jalan itu untuk kita,  kita tidak mahu meneruskannya. Kita hanya berada di depannya, sekadar melihat dan meninjau. Sudahnya kita terus kembali pada jalan lama yang penuh ranjau dan liku. Hati di dalam seakan memberontak untuk terus melangkah ke jalan lurus itu, tetapi nafsu nampaknya begitu ego dan sombong menidakkan kehendak hati.

Sebenarnya, kita meminta dan memohon hanya di mulut. Tidak pada hati. Hati tidak pernah betul-betul menginginkannya. Sudahnya, inilah yang terjadi. Benarlah kita manusia ego yang bodoh dan sombong.

Kalau ini berlaku pada kita, mohonlah ampun padaNya. Mohon ampun segera. Sungguh manusia itu tidak sempurna tetapi jangan jadikan alasan itu untuk kita bebas melakukan sebarang kekhilafan.

Usah jauh dariNya, usah berpaling walau sekali. Kelak kita yang hancur.  Kalau benar memohon untuk sentiasa dekat dan erat dengan-Nya. maksudkannya. Usah sekadar berkata-kata. Usah menipu pada Yang Maha Mengetahui.

Ayuh semua, marilah kita susun barisan untuk menuju jalan yang lurus. Jalan yang satu menuju jannah-Nya. Jalan yang satu bertemu-Nya. Tidak susah tidak mustahil. Berpeganglah pada tali (agama) Allah. InsyaAllah, dunia dan akhirat kita menang.

aku : Hari ini suamiku yang tersayang mengikuti basic training ESQ 165 di PICC, Putrajaya. InsyaAllah, Allah akan membuka jalan itu untuknya. Aku yakin kerana Allah Maha Pengasih dan aku yakin kerana aku kenal siapa dia. Moga Allah memelihara iman kita semua. Amin.

Kini bermula..

Posted: July 24, 2009 in Uncategorized

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Pemurah.

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan Semesta Alam dan Penguasa Hari Pembalasan. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad SAW berserta ahli keluarga, para sahabat dan para syahid. Tidak lupa juga buat semua yang sudi berziarah ke laman ini. Apa khabar iman anda hari ini? Semoga bertambah kukuh dari sehari ke sehari. Amin.

Alhamdulilah berkat keizinan-Nya, dapat aku memulakan lagi blog aku yang entah kali ke berapa ini. Atas pertolongan Ani Nadila dan dorongan Siti Ramlah, aku cuba menguatkan hati dan jiwa untuk menulis sesuatu di sini.

Masih buntu, masih kaku.  Tarian jari-jemariku di papan kekunci ini ternyata belum lagi bersatu. Bimbang apa yang bakal ku luahkan tampak pincang. Bimbang juga kalau aku tersungkur dan tergelincir dalam persediaan yang belum padu ini. Mungkin aku belum mendapat ilham yang kudus dari-Nya.

InsyaAllah, visiku memulakan blog adalah untuk mencari keredhaan dan mendekatkan diri dengan Yang Maha Pencipta. Kurniailah aku Ya Allah sedikit ilmu-Mu agar apa yang bakal ku luahkan di sini menjadi tasbih-tasbih untukku meneruskan ‘journey’ bertemu-Mu.  Semoga apa yang aku tulis di sini Kau kira sebagai bekalanku di hari kemudian. Catatlah aku Ya Allah.

Cukuplah setakat ini. Salam perkenalan kini telah bermula. Sambutlah bagi anda yang sudi. Semoga laman ini menjadi medan untuk kita mengerat dan mengukuhkan ukhwah sesama kita. Permisi.

“Apabila telah datang pertolongan dan kemenangan, dan engkau melihat manusia berbondong-bondong memasuki agama Allah, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah keampunan kepada-Nya. Sungguh Dia Maha Penerima Taubat ” – surah An-Nasr, ayat 1-3.